suria

Militan ISIS: 39 Rakyat Malaysia Terlibat Termasuk Wanita

KUALA LUMPUR: Kerajaan mengesahkan seramai 39 rakyat Malaysia termasuk seorang wanita terlibat dengan gerakan militan Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS).


Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagaimanapun berkata, sehingga kini kerajaan belum mengenal pasti sama ada kumpulan itu terlibat dengan aktiviti Jihad Al-Nikah.

"Setakat ini masih belum terkesan penglibatan mereka dengan aktiviti sedemikian.

"Malah, seorang wanita di dalam kumpulan terbabit merupakan isteri kepada salah seorang ahli gerakan militan berkenaan. Ini adalah lebih kepada khabar angin sahaja," katanya menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Rabu.

Dilaporkan, Jihad Al-Nikah atau jihad seks merujuk kepada konsep kontroversi di mana wanita Sunni dikatakan menawarkan diri untuk memenuhi keperluan seksual pejuang yang memperjuangkan undang-undang Islam.

Selain itu, Ahmad Zahid berkata, pihak berkuasa belum memuktamadkan jenis undang-undang yang akan dikenakan terhadap kumpulan berkenaan.

"Walau bagaimanapun sekiranya terdapat bukti yang kukuh berkenaan dengan penglibatan mereka dalam aktiviti gerakan militan, kerajaan akan mengambil tindakan berdasarkan undang-undang sedia ada seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012.

"Selain itu ialah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) 2001, Kanun Keseksaan dan Akta Pertubuhan 1966," katanya.

ISIS, Menteri Dalam Negeri

Artikel Lain