suria

Mangsa Nahas MH17 Dianugerah Ijazah Sarjana

Shi Yan (kiri) menerima Ijazah Sarjana mewakili adik perempuannya mendiang Elisabeth (dalam gambar) daripada Pro Canselor UM, Datuk Seri Dr Aishah Ong pada majlis konvokesyen universiti itu pada Selasa.

KUALA LUMPUR: Mendiang Elisabeth Ng Lye Ti, yang merupakan mangsa nahas pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 dianugerahkan Ijazah Sarjana dalam Pengurusan dari Universiti Malaya (UM) pada Selasa.

Penganugerahan itu dilaksanakan menerusi sistem Aegorat yang membolehkan ia diberikan kepada wakil pelajar yang sudah meninggal dunia.

Anugerah tersebut disampaikan oleh Pro Canselor UM, Datuk Seri Dr Aishah Ong kepada kakak mendiang, Shi Yan yang mewakili adik perempuannya pada majlis konvokesyen universiti itu.

Dekan Fakulti Perniagaan dan Perakaunan UM, Prof Mohd Nazari Ismail berkata, Elisabeth telah melengkapkan lebih 80 peratus daripada program Sarjananya dan berhak untuk dianugerahkan ijazah itu.

"Ini memperlihatkan bahawa kita berpandangan bahawa dia (mendiang) merupakan pelajar yang sangat bagus tetapi tidak bernasib baik untuk menyempurnakan programnya," katanya.

Beliau berkata, Elisabeth mempunyai setahun sahaja lagi dengan satu subjek dan satu projek penyelidikan sebelum menamatkan pengajian.

Beliau turut memperjelaskan bahawa sistem Aegrotat itu merupakan tradisi universiti yang boleh menganugerahkan pelajar yang sudah meninggal dunia.

Sementara itu, Shi Yan enggan ditemubual oleh pemberita.

Elisabeth, kakaknya Shi Ing dan anak saudara lelakinya Benjamin Jian Han Lee merupakan antara 43 rakyat Malaysia yang maut dalam nahas pesawat MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.

Majlis konvokesyen UM yang berlangsung lima hari itu menyaksikan seramai 5,273 graduan menerima ijazah.

MH17, Shi Yan

Artikel Sebelum

Artikel Lain