suria

MH17: 13 Puak Pemisah 'Kawal" Lokasi Nahas - Liow

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat pada Rabu dimaklumkan terdapat hampir 13 puak pemisah yang 'mengawal' lokasi nahas pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 di timur Ukraine.


Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, kawalan ketat puak pemisah di wilayah bergolak itu menyukarkan pasukan penyiasat antarabangsa termasuk dari Malaysia memasuki lokasi nahas.

"Kita difaham dari segi kerumitan di Ukraine kerana di sana puak pemisah ada banyak kumpulan iaitu lebih kurang 12 ke 13 kumpulan.

"Bukan senang kita nak dapatkan persetujuan untuk memastikan gencatan senjata dilaksanakan sepenuhnya," katanya pada persidangan Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Abdul Azeez Rahim (BN-Baling) berhubung perkembangan terkini peranan pasukan siasatan insiden MH17.

Selain itu Liow berkata, Malaysia serta negara terbabit dengan insiden MH17 dan pihak berkuasa Ukraine memberi desakan kepada puak pemisah untuk memastikan lokasi nahas selamat dimasuki bagi mengumpul bukti siasatan.

Desakan itu juga selepas mengambil kira faktor cuaca di timur Ukraine itu.

"Peluang untuk kita masuk ke kawasan nahas kemalangan agak sempit sekarang, kerana musim sejuk dah dekat dan apabila salji turun kita tidak dapat masuk untuk buat siasatan lanjut.

"Rundingan masih berjalan dengan pihak Ukraine dan pihak pemisah dan kita harap dapat masuk dalam tempoh yang suntuk ini," katanya.

Penerbangan MH17, sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ketika ia terhempas di Donetsk, timur Ukraine berdekatan sempadan Rusia pada 17 Julai.

Pesawat Boeing 777-200 itu membawa 298 orang - 283 penumpang dan 15 anak kapal - dipercayai ditembak jatuh, namun setakat ini tiada pihak mengaku bertanggungjawab melakukan perbuatan kejam itu.

Seramai 195 warga Belanda dan 43 warga Malaysia antara penumpang dan anak kapal dalam pesawat malang itu.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut