suria

"PAS Marilah Duduk Bersama BN"

Annuar Musa
KUALA LUMPUR: Konflik dalaman Pakatan Rakyat berhubung krisis politik Selangor terus menghangatkan sesi perbahasan Dewan Rakyat pada Isnin.


Kali ini, wakil rakyat Barisan Nasional (BN) secara berseloroh mengajak PAS yang menjadi sekutu pakatan pembangkang itu supaya meninggalkan kerjasama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

"PAS marilah duduk bersama BN.

"PKR dan DAP buli PAS...mereka turut buli bekas MB Selangor (Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim)," kata Tan Sri Annuar Musa (BN-Ketereh) ketika sesi perbahasan Bajet 2015 di Dewan Rakyat.

Selain itu, Annuar turut memuji PAS yang disifatkannya sebagai 'tulang belakang' Pakatan Rakyat.

"PKR dan DAP mencabar PAS (keluar Pakatan Rakyat) kononya tanpa mereka PAS akan hancur.

"Mereka lupa kekuatan DAP dan PKR datang daripada PAS. PAS tidak akan hancur, sebab PAS istiqamah dalam perjuangan mereka, yang hancur parti lain," katanya.

Kenyataan Annuar itu akhirnya mengundang reaksi Khalid Samad (PAS-Shah Alam) yang secara terbuka menegaskan komitmen parti itu untuk terus bersama PKR dan DAP.

"Ucapan Ketereh (Annuar) amat melucukan, macam nak cuba beri umpan. Minta maaf Ketereh, kita tidak termakan umpan," katanya.

Sebelum ini Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Abduh Nik Abdul Aziz secara terbuka mengakui PAS menjadi mangsa buli DAP dan PKR rentetan isu di Selangor dan pemecatan ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang baru-baru ini.

Nik Abduh berkata jika dahulu PAS menjadi mangsa buli Umno, sekarang mereka dibuli rakan sendiri dalam Pakatan Rakyat.

Artikel Lain