suria

Saari, Hasnul Kena Gantung - PAS

Keahlian Hasnul dan Saari digantung selama setahun.

KUALA LUMPUR: Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS, Saari Sungib dan Hasnul Baharuddin yang membelakangkan keputusan parti berhubung kemelut calon Menteri Besar Selangor digantung keahliannya daripada PAS selama setahun berkuatkuasa pada Ahad.


Keputusan membabitkan Adun Hulu Kelang dan Morib itu diumumkan oleh Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali sebentar tadi selepas mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat di Ibu Pejabat PAS di sini, Ahad.

"Jawatankuasa PAS Pusat yang bermesyuarat sebentar tadi memutuskan untuk menggantung keahlian mereka selama setahun berkuatkuasa hari ini (Ahad)," katanya pada sidang media di sini.

Terdahulu, mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat itu dipengerusikan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Namun, Mustafa berkata, kedua-dua Adun itu boleh mengemukakan rayuan secara bertulis kepada Setiausaha Majlis Syura Ulama dalam tempoh 15 hari dari tarikh surat penggantungan itu dikeluarkan.

"Mereka boleh buat rayuan bertulis berdasarkan pasal 83 (4) (5)  Perlembagaan PAS pindaan 2011 kepada Majlis Syura Ulama dari tarikh surat penggantungan itu dikeluarkan.

"Jadi penggantungan itu berkuatkuasa hari ini. Dalam masa 15 hari mereka boleh merayu kepada Majlis Syura... Insyallah. Itu keputusan yang telah dibuat tadi," katanya.

Jelas beliau, dengan penggantungan itu, kedudukan mereka sebagai Adun Selangor tidak terjejas tetapi mereka tidak boleh terlibat dalam sebarang aktiviti PAS.

"Mereka masih lagi Adun Selangor dan masih lagi ahli parti tapi tidak dibenarkan menyertai sebarang aktiviti berkaitan parti sepanjang tempoh penggantungan itu," katanya.

Pada 29 September lalu, Saari dan Hasnul dipanggil untuk memberi penjelasan berhubung tindakan mereka menandatangani surat akuan bersumpah menyokong Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon tunggal untuk jawatan Menteri Besar  Selangor.

Tindakan kedua-dua Adun itu dianggap bertentangan dengan keputusan Majlis Syura Ulama Pas pada 7 Ogos lalu yang memutuskan bahawa Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak boleh digugurkan daripada jawatan Menteri Besar Selangor selagi beliau tidak disabitkan sebarang pelanggaran terhadap amanah yang mewajarkannya disingkirkan.


Artikel Lain