suria

Kenaikan Elaun Suntik Semangat Wakil Rakyat

KUALA LUMPUR: Kenaikan elaun anggota Dewan Rakyat dan Dewan Negara memberi semangat kepada pemimpin masyarakat itu untuk terus berusaha memberi khidmat terbaik.


Perkara itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Bajet 2015, Jumaat.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Rohani Abdul Karim  menyifatkannya sebagai satu suntikan motivasi untuk bekerja lebih kuat.

"Saya gembira (dengan kenaikan ini) dan sekurang-kurangnya ia memberi satu kelegaan. Ia juga jadi motivasi kepada kita untuk bekerja lebih keras," katanya.

Beliau berkata, elaun Ahli Parlimen negara ini adalah antara yang terendah, tidak setimpal dengan tugas mereka yang merangkumi semua aspek.

Ahli Parlimen PAS-Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar pula berkata, kenaikan itu wajar selaras keperluan wakil rakyat bagi perbelanjaan pembangunan khususnya pembangkang.

"Kalau ahli kelab penyokong Barisan Nasional (BN) yang dapat semua peruntukan pun rasa terbeban, apatah lagi kami pembangkang," katanya ketika ditemui di Dewan Rakyat pada Jumaat.

Menurut Ketua Penerangan PAS itu lagi, kenaikan tersebut diharapkan mampu mengurangkan beban wakil rakyat.

"Tanah merah selori pun orang mintak pada kami, tapi saya pun tak tahu berapa naik sebab saya difahamkan Jusa C minimunnya RM7000. Sekarang elaun kami RM6,500...mungkin naik RM500.

"Kalau RM500 dekat celah gigi sahajalah," katanya.

Menerusi Bajet 2015, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa Ahli Dewan Rakyat akan dinaikkan elaun daripada bersamaan Gred 54 kepada bersamaam Gred Jusa C.

Sementara itu Ahli Dewan Negara elaunnya dinaikkan daripada bersamaan Gred 48 kepada bersamaan antara Gred 54 dan Jusa C.

Selain itu kenaikan elaun berkenaan turut akan dinikmati oleh speaker dan timbalan speaker Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Sementara itu, Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak), Tan Sri Abdul Aziz Rahman berkata, dengan kenaikan itu, secara automatik bayaran pencen bulanan bagi bekas anggota Parlimen yang bersara juga akan meningkat.


Artikel Sebelum

Artikel Lain