suria

Bajet 2015 Komprehensif, Bertepatan Kehendak Rakyat - Muhyiddin

Muhyiddin Yassin.

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan Bajet 2015 sebagai bajet yang cukup komprehensif, menyentuh segala aspek dan bertepatan dengan kehendak rakyat.

Beliau berkata, intipati bajet itu yang menyentuh berkenaan pembangunan ekonomi negara dan usaha menangani permasalahan rakyat amat bersesuaian dengan temanya iaitu 'Bajet 2015: Ekonomi Keperluan Rakyat'.

"Dalam pembentangan bajet tadi, pertamanya ia menyentuh tentang strategi pembangunan nasional yang hendak menyeimbangkan antara ekonomi dan pembangunan rakyat.

"Jadi langkah-langkah telah dicadangkan dalam bajet ini seperti untuk mengukuhkan kedudukan fiskal negara kita, kedudukan kewangan dan memantapkan ekonomi negara kita," katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen selepas pembentangan Bajet 2015 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat di sini, Jumaat.

Pada pembentangan itu, Najib mengumumkan jumlah bajet bagi tahun depan iaitu sebanyak RM273.9 bilion dengan RM223.4 bilion daripada jumlah itu untuk perbelanjaan mengurus sementara RM50.5 bilion sebagai perbelanjaan pembangunan.

Di bawah peruntukan pembangunan, sektor ekonomi menerima agihan tertinggi iaitu sebanyak RM29.3 bilion, diikuti sektor sosial (RM12.6 bilion), sektor keselamatan (RM4.9 bilion), sektor pentadbiran (RM1.7 bilion) dan simpanan luar jangka (RM2 bilion).

Muhyiddin berkata, bajet itu juga menggariskan secara jelas langkah-langkah kerajaan menangani isu-isu pokok atau masalah yang dihadapi rakyat.

Katanya, penjelasan panjang lebar perdana menteri mengenai Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) pada pembentangan bajet itu, akan memberikan kelegaan kepada rakyat terutama berkenaan pengecualian luas cukai itu terhadap barangan dan perkhidmatan.

"Pengumuman perdana menteri ini mengesahkan bahawa GST akan diteruskan dan dilaksanakan pada 2015...selepas dijelaskan oleh perdana menteri panjang lebar tadi kita yakin ia tidak akan membebankan," katanya.

Muhyiddin berkata, langkah kerajaan memperkenalkan CBP bertujuan mengukuhkan kedudukan kewangan negara di samping hasil pendapatan cukai itu dapat diagihkan kepada kumpulan sasar.

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan turut mengalu-alukan peningkatan peruntukan tahun depan bagi Kementerian Pendidikan iaitu sebanyak RM56 bilion berbanding RM54.6 bilion tahun ini.

Katanya, antara yang terkandung dalam peruntukan kali ini ialah peningkatan peruntukan khas sebanyak RM750 juta bagi menyelenggara hampir 10,000 buah sekolah di seluruh negara.

"Kita mengucapkan terima juga kerana bantuan RM100 masih diteruskan, walaupun ada pihak menyatakan bahawa tidak seharusnya dibayar kepada keluarga yang berpendapatan tinggi tetapi perdana menteri mungkin berpendapat ini adalah untuk pendidikan bagi semua pelajar yang berjumlah lebih lima juta. 

"Selain itu baucer buku dan semua bantuan-bantuan sekolah ini dapat meringankan beban dan ini akan diberikan kepada pelajar pada awal persekolahan 2015," katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin turut menyentuh langkah kerajaan mengurangkan subsidi minyak sebanyak 20 sen yang menurutnya satu langkah penjimatan untuk membantu golongan sasar.

Katanya, ini dapat dilihat dengan peningkatan jumlah Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) daripada RM650 kepada RM950 untuk isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 ke bawah.

"Saya berpendapat belanjawan ini seharusnya tidak diambil kesempatan secara negatif oleh penjaja (peniaga) untuk menaikkan harga barangan dan kerajaan akan

sentiasa memantau," katanya.
Bajet 2015

Artikel Lain