suria

Kenaikan Kadar BR1M Boleh Bantut Ekonomi Negara - MB Selangor

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali menyifatkan peningkatan jumlah pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) hanya akan merencatkan pertumbuhan ekonomi negara.


Beliau yang juga Ahli Parlimen Gombak berkata, kerajaan seharusnya memberi fokus kepada isu pendidikan dan latihan yang dilihat lebih bermanfaat untuk meningkatkan taraf hidup rakyat dalam tempoh jangka panjang.

"Inisiatif yang diberikan tidak menggalakkan pertumbuhan ekonomi rakyat. Saya melihat Bajet 2015 ini tidak memberikan fokus terhadap ekonomi rakyat seperti yang dihasratkan kerana ekonomi rakyat ini memerlukan pendidikan yang berkualiti, latihan dan juga usaha untuk inovasi yang lebih progresif.

"Bukan dengan memberikan BR1M, sebab ini tidak stabil dan juga dilihat sebagai aktiviti pembaziran ekonomi. Peruntukan kecil untuk agensi inovasi Malaysia yang tidak dapat membantu pertumbuhan ekonomi rakyat bagi 2015," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pembentangan Bajet 2015 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat pada Jumaat.

Menerusi Bajet 2015, kerajaan mengumumkan BR1M dinaikkan daripada RM650 kepada RM950 untuk isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 ke bawah.

Bagi isu rumah berpendapatan bulanan antara RM3,000 hingga RM4,000, kadar BR1M naik dari  RM450 kepada RM750.

Sementara itu bagi kategori individu bujang berumur 21 tahun ke atas dan berpendapatan tidak lebih RM2,000 sebulan, kadar BR1M dinaikkan daripada RM300 kepada RM350.


Azmin Ali, BR1M, ekonomi, Bajet 2015

Artikel Sebelum

Artikel Lain