suria

Gangguan Bekalan Air Di Seremban Ditunda Ke 28 Oktober

SEREMBAN: Penutupan sementara bekalan air di sebahagian kawasan Seremban yang dijadualkan pada 14 hingga 15 Oktober ini ditunda kepada 28 Oktober atas sebab-sebab tertentu.

Penolong Pengurus Unit Komunikasi Korporat, Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (Sains) Norzita Ismail berkata, waktu dan kawasan terlibat adalah sama seperti notis sebelum ini.

"Bagaimanapun, Sains akan mengeluarkan notis baharu berkenaan tundaan tarikh ini dalam masa terdekat," katanya dalam kenyataan di sini, Khamis.

Para pelanggan yang memerlukan bantuan boleh menghubungi Sains di talian bebas tol 1-800-88-6982.

Pada Khamis, Sains dalam kenyataannya memaklumkan bahawa sebahagian kawasan Seremban akan mengalami gangguan bekalan air selama 24 jam mulai 8 pagi Selasa ini (14 Oktober) berikutan kerja-kerja penyelenggaraan Tenaga Nasional Bhd (TNB) di Loji Rawatan Air Sungai Terip dekat sini.

Kawasan terlibat ialah seluruh bandar Seremban, Seremban 2, Taman Nusari Bayu, Taman Nusari Aman, Seremban 3, Temiang, Templer, Light Industri Templer, Lobak, Jalan Rasah, Mambau, Hospital Tuanku Jaafar Seremban, Hospital Pakar KPJ, Hospital Columbia dan Hemodialisis Mawar.

Turut terlibat Hospital Bersalin Cina Templer, Batu 1 Jalan Kuala Sawah hingga Taman Angsa Mas (Mambau), Jalan Labu, Taman Desa Rhu dan Taman Warisan Puteri (Sikamat), seluruh kawasan Ampangan, Paroi, Senawang, Rahang, kawasan industri Sungai Gadut, Taman Tuanku Jaafar dan Taman Seremban Selatan.

Artikel Lain