suria

Esscom Akan Tubuh Jawatankuasa Pencegahan Penyeludupan

KOTA KINABALU: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) akan menubuhkan Jawatankuasa Pencegahan Penyeludupan bagi menyelaras operasi semua agensi penguatkuasaan untuk mengekang dan menangani kegiatan penyeludupan di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone).

Pengarah Awam Esscom Ruji Ubi berkata langkah itu berikutan penstrukturan semula Esscom yang menyaksikan pewujudan dua komponen iaitu Pengurusan Keselamatan dan Pertahanan serta Komponen Penguatkuasaan dan Tindakan Awam.

"Pihak Esscom akan memperincikan butiran dan keanggotaan jawatankuasa tersebut sebelum ia dilaksanakan," katanya ketika berucap pada Majlis Jamuan Makan Malam Esscom Bersama Media di sini malam Jumaat.

Turut hadir Ketua Komponen Udara Esscom SAC Abdul Manaf Othman yang mewakili komander Esscom, Ketua Seksyen Komunikasi Strategik Esscom Mohd Yusri Hashim dan Presiden Persatuan Wartawan Sabah Francis Fahir.

Beliau berkata langkah itu menunjukkan kesungguhan dan komitmen kerajaan untuk mencari kaedah terbaik bagi menyelesaikan isu penyeludupan di Esszone.

Esszone merangkumi 10 daerah yang meliputi 1,733.7 kilometer dari Kudat ke Tawau. 

Daerah terbabit ialah Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna, dan Tawau.

Ruji berkata Esscom turut mengambil langkah proaktif dan pragmatik dalam usaha menyedarkan masyarakat tentang betapa pentingnya rakyat bersatu padu untuk mempertahankan kedaulatan dan keselamatan rakyat Sabah.

Dalam hal ini, katanya, Bahagian Awam Esscom melalui Seksyen Komunikasi Strategik sentiasa turun padang mendampingi rakyat melalui pelbagai program pertemuan bersemuka seperti Program Gerak Saraf dan perang saraf (GSPS).

"Melalui program ini kita sentiasa mendampingi masyarakat dan menasihati mereka agar tidak terpengaruh atau menyertai gerakan-gerakan yang boleh mengancam keselamatan negara," katanya.

Dalam tempoh dua minggu lepas sehingga Jumaat, katanya seksyen itu melaksanakan lapan program pertemuan bersemuka dengan rakyat di daerah Semporna, Kunak, Tawau, Sandakan, Kinabatangan dan Tongod dalam usaha untuk "memenangi hati dan minda" penduduk setempat.

Berhubung pembangunan sosio ekonomi setempat, Ruji berkata tahun ini sahaja, kerajaan Persekutuan memperuntukkan kira-kira RM16.8 juta bagi melaksanakan tiga projek sosio ekonomi dan keselamatan di Esszone.

Ini termasuk projek pembinaan semula 33 buah rumah yang terbakar atau rosak teruk (semasa pencerobohan kumpulan pengganas Sulu pada Februari tahun lepas) di Tanjung Labian, Lahad Datu yang menelan belanja kira-kira RM2.3 juta, pembinaan 32 pos kawalan (RM11 juta) dan pewujudan Fusion Centre atau Pusat Penyatuan Maklumat di Esscom (RM3.5 juta), katanya.

Sementara itu, Ruji berkata Esscom menghargai sumbangan dan jasa pengamal media dalam memberikan liputan dan laporan yang tepat dan terkini serta hebahan meluas terhadap program dan aktiviti dilaksanakan Esscom sejak ditubuhkan pada 1 April tahun lepas.


Artikel Lain