suria

Doktor Wanita Antara 22 Rakyat Malaysia Dilapor Terbabit Militan IS Di Syria

- Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan dua wanita dan dua lelaki adalah antara 22 rakyat Malaysia yang berada di Syria yang dipercayai terbabit dengan kumpulan militan Negara Islam (IS).

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayub Khan Mydin Pitchay berkata berdasarkan maklumat risikan, dua daripada mereka merupakan pasangan berusia 23 dan 29 tahun berasal dari Selangor dan Terengganu.

Beliau berkata seorang lagi wanita rakyat Malaysia yang terbabit merupakan seorang doktor berusia 26 tahun yang berkahwin dengan anggota kumpulan militan IS.

Sementara seorang lagi merupakan lelaki Malaysia berusia 35 tahun yang pergi ke Syria bersama isterinya yang berumur 46 tahun, seorang warganegara asing," katanya kepada Bernama.

Mengulas mengenai kenyataan doktor wanita itu melalui Facebook 'Diary of a Muhajirah' yang cuba mempengaruhi wanita tempatan menyertai militan IS, Ayub Khan berkata kenyataan itu adalah membimbangkan, memandangkan pengaruh melalui laman sosial adalah terlalu kuat.

"Kita sedang kenal pasti identiti, latar belakang serta maklumat keluarga wanita ini. Kita juga akan siasat bagaimana dia boleh terpengaruh untuk ke sana (Syria). 

"Memang ada daya tarikan kuat sebab mereka boleh menggunakan Facebook untuk menarik wanita khususnya gadis tempatan dengan begitu mudah. Mereka boleh berkongsi gambar kononnya penginapan serta makanan disediakan dan pergi ke sana hanya untuk berjihad bersama mujahiddin.

"Dengan berkahwin dengan anggota IS, mereka dianggap turut mendapat pahala berjihad dan dapat menambahkan zuriat mujahiddin," katanya.

Doktor wanita itu juga dikesan aktif memuat naik status mengenai pengalamannya serta memberikan petua kepada sesiapa yang merancang untuk mengikutinya bagi memudahkan pergerakan mereka, melalui Tumblr dan Twitter.

Selain itu, Ayub Khan berkata terdapat juga kegiatan mengeksploitasi wanita dan gadis untuk dijadikan hamba seks kumpulan militan itu.

Bagaimanapun setakat ini ia tidak melibatkan rakyat Malaysia, katanya.

Media tempatan sebelum ini memetik laporan Pertubuhan Bangsa Bersatu bahawa pada bulan lepas sahaja, kira-kira 1,500 wanita dan kanak-kanak perempuan telah dipaksa kumpulan militan berkenaan untuk dijadikan hamba seks.

Sejak operasi khas ke atas anasir militan dilancarkan Bahagian Counter Terrorism pada 28 April lepas sehingga setakat ini bulan ini, sebanyak 22 individu telah ditahan kerana disyaki terlibat dengan kegiatan militan itu.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kumpulan itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Mohd Hazil Azhar di talian 03-22665673.

Artikel Lain