suria

Mesin Godam ATM: Polis Siasat Bank, Vendor Terbabit

Rakaman CCTV suspek kejadian mesin ATM digodam di beberapa bank.
KUALA LUMPUR: Polis sedang menyiasat kemungkinan pembabitan kakitangan bank dan vendor Mesin Teler Automatik (ATM) mesin ATM digodam melibatkan empat bank di ibu negara, Melaka, Johor dan Selangor baru-baru ini.


Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) (Jenayah Siber dan Multimedia) Senior Asisten Komisioner Mohd Kamarudin Md Din berkata, polis menyiasat pelbagai aspek mengenai jenayah bersiri itu, termasuk kemungkinan pembabitan orang dalam bank.

"Bagaimanapun setakat ini polis masih belum mempunyai bukti kukuh menunjukkan penglibatan mereka dan kita sedang meneliti keterangan yang diambil daripada pengadu, pengawal keselamatan, kakitangan bank dan pihak vendor mesin ATM," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini, Rabu.

Katanya, forensik polis juga sedang meneliti kesan cap jari yang terdapat di kesemua mesin ATM itu.

Beliau berkata, polis tidak lagi menerima laporan terbaharu mengenai kejadian penggodaman itu dengan kali terakhir hanya dilaporkan pada Selasa di ibu negara melibatkan kerugian kira-kira RM92,900.

Mohd Kamarudin berkata, polis juga mengadakan perbincangan dengan pihak bank baru-baru ini bagi mencari kaedah terbaik untuk meningkatkan keselamatan mesin ATM.

Sehingga semalam, polis melaporkan 17 mesin ATM membabitkan empat buah syarikat perbankan iaitu di ibu negara, Selangor, Melaka dan Johor Baharu dengan anggaran kerugian lebih RM3 juta dipercayai digodam sindiket dipercayai dari Amerika Latin.

Bagaimanapun, dalam kejadian penggodaman itu, tiada pemilik akaun dilaporkan kehilangan wang mereka.

Polis mengenal pasti sindiket menggunakan kaedah menyuntik virus malware, 'ulssm.exe' dengan memasukkan cakera padat (CD) ke dalam pembaca cakera padat (CD-ROM) yang terdapat di dalam mesin berkenaan.

Kaedah itu digunakan bagi menipu sistem pengkomputeran bank sebelum mengeluarkan kesemua wang di dalam ATM itu menggunakan panel kekunci dengan memasukkan kod tertentu yang diterima melalui panggilan telefon daripada rakan mereka.


godam, ATM, bank, vendor

Artikel Lain