suria

Pindaan Akta: Hampir 100,000 Jurutera Tempatan Bakal Peroleh Manfaat

Fadillah (kiri) menerima cenderamata daripada Presiden Lembaga Jurutera Malaysia, Datuk Ir. Annies Md Ariff (tengah). Turut serta ialah Ketua Setiausaha (Dasar dan Pembangunan) Kementerian Kerja Raya, Datuk Zainudin Zakaria.

PETALING JAYA: Hampir 100,000 jurutera tempatan bakal mendapat manfaat daripada pindaan Akta Pendaftaran Jurutera yang akan dibentangkan di Parlimen tidak lama lagi.

Sehingga September ini, jumlah berkenaan membabitkan seramai 16,537 jurutera berstatus profesional, manakala 77,263 lagi adalah graduan dalam bidang kejuruteraan.

Berdasarkan intipati pindaan akta berkenaan, apabila diluluskan, jurutera profesional tempatan bukan sahaja boleh mempraktik dan mewujudkan khidmat rundingan di sini, malah di luar negara.

Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof berkata, ia juga bermakna kewarganegaraan bukan lagi menjadi syarat buat jurutera asing untuk berbuat demikian di negara ini.

“Pindaan Akta Pendaftaran Jurutera yang bertujuan untuk meliberalisasikan perkhidmatan profesional kini di peringkat akhir dan akan dibentangkan di Parlimen.

“Ia seiring agenda kerajaan untuk meliberalisasikan lagi industri perkhidmatan, yang mana akan menarik pelaburan langsung asing (FDI), yang menyumbangkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan sekali gus menjana pertukaran asing,” katanya pada Program Jelajah Lembaga Jurutera Malaysia (LJM) di Kuala Lumpur pada Isnin.

Fadillah berkata, akta berkenaan juga dipinda bagi membolehkan mana-mana jurutera di seluruh dunia untuk mendaftar dengan LJM.

Tambahnya, pindaan itu turut melibatkan tiga objektif utama iaitu melindungi orang ramai daripada risiko perkhidmatan sub-standard daripada penyedia perkhidmatan asing, dan dasar tempatan dan nasional serta memastikan liberalisasi tersebut akan menjana pertumbuhan seperti yang disasarkan.

Fadillah berkata, menurut Persekutuan Perunding Jurutera Antarabangsa yang berpangkalan di Geneva, permintaan terhadap perkhidmatan perunding jurutera meningkat setiap tahun.

“Perkhidmatan jurutera profesional di seluruh dunia dari segi bayaran berjumlah AS$270 bilion (RM885.79 bilion) pada 2010, dan meningkat kepada AS$330 bilion (RM1,082.63 bilion) pada 2013, terutama kejuruteraan dalam pengangkutan, pembinaan dan kemudahan, pembangunan tanah, saliran, air dan sisa buangan.

“Bagaimanapun, perunding tempatan perlu menilai persaingan mereka dari segi trek rekod yang baik, kecekapan dan kesediaan untuk menerima projek berskala besar,” katanya.

Tambahnya, beliau yakin dengan perunding jurutera tempatan di mana sebahagiannya telah pun menembusi luar negara seperti di Asean dan Timur Tengah.

“Saya berharap mereka yang belum lagi bekerjasama dengan pihak asing perlu mempelajarinya dan melengkapkan diri mereka untuk menghadapi cabaran liberalisasi dan globalisasi,” katanya.

Artikel Berikut

Ahli PAS Sampai Ajal - Saari

Artikel Lain