suria

Pengarah Kastam WPKL, Lima Pegawai Didakwa Rasuah

Enam pegawai kastam termasuk Pengarah Kastam Wilayah Persekutan dibawa ke mahkamah untuk didakwa kerana terbabit dalam kegiatan rasuah, Isnin.
SHAH ALAM: Pengarah Kastam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL), Datuk Mohd Isa Endot dan lima pegawai kanan Jabatan Kastam Diraja Malaysia dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas 21 pertuduhan rasuah melibatkan wang suapan RM39,200 berhubung penyeludupan arak yang tidak dibayar cukai antara Februari dan Ogos 2014.


Selain, Mohd Isa, lima pegawai terbabit adalah Pembantu Penguasa Kastam Cawangan Operasi, Bahagian Penguatkuasaan, Ibu Pejabat Kastam, Muhamad Helmi Burhanudin; Penolong Kanan Pengarah Kastam II, Kastam WPKL, Wan Azman Wan Ali, 47.

Pembantu Penguasa Kastam, Mohamad Fauzi Kamsar; Penguasa Kastam KL, Shamsul Anwar Mohd Radzi; dan Pegawai Kastam Kanan KL, Azlee Mohamed Yusof.

Mohd Isa, Muhamad Helmi, Wan Azman dan Mohamad Fauzi didakwa di Mahkamah Sesyen secara berasingan, manakala Shamsul Anwar dan Azlee didakwa bersama di sini Isnin.

Mohd Isa, 55, mengaku tidak bersalah terhadap empat pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM8,000 sebagai bayaran bulanan dan wang perlindungan bagi melicinkan segala urusan kastam sebuah syarikat.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di pejabatnya di aras 5, blok C, Wisma Kastam Kelana Jaya, antara Mei dan Ogos lepas.

Muhamad Helmi, 37, mengaku tidak bersalah atas tujuh pertuduhan menerima suapan secara bulanan kesemuanya berjumlah RM14,000 sebagai dorongan tidak mengganggu lori kepunyaan seorang individu yang mana individu itu mempunyai kepentingan atas lori yang keluar dari kawasan Pelabuhan Bebas Klang.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Cawangan Operasi, Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kastam Selangor, antara Februari hingga Ogos lepas.

Wan Azman, 47, mengaku tidak bersalah terhadap lima pertuduhan meminta dan menerima suapan yang kesemuanya berjumlah RM10,000 daripada seorang individu di Cawangan Pergudangan Kastam KL yang beliau mengetahui individu itu mempunyai hubungan rasmi dengan Pengarah Kastam KL.

Kesalahan itu dilakukan antara Mei hingga Ogos 2014, di sekitar Lembah Klang.

Mohamad Fauzi, 33, pula mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM4,200 sebagai dorongan tidak mengganggu aktiviti penyeludupan arak ketika operasi pemeriksaan.

Ia dilakukan antara Jun hingga Ogos lepas di Kelana Jaya, Selangor.

Shamsul Anwar, 32, dan Azlee, 48, yang menghadapi dua pertuduhan rasuah melibatkan keseluruhan RM3,000 didakwa bersama atas kesalahan menerima rasuah daripada seorang individu sebagai dorongan tidak mengganggu perniagaan individu berkenaan.

Ia dilakukan antara Julai dan Ogos 2014 di Kelana Jaya, Selangor.

Kesemua pertuduhan dibuat mengikut 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Hakim Datuk Noradidah Ahmad membenarkan Mohd Isa diikat jamin RM25,000 dengan seorang penjamin; Muhamad Helmi RM20,000 dengan seorang penjamin; Wan Azman RM15,000 dengan seorang penjamin; Mohamad Fauzi RM10,000 dengan seorang penjamin dan Shamsul Anwar RM8,000 dan Azlee dikenakan RM3,000, dengan masing-masing seorang penjamin.

Kesemua tertuduh diarah menyerahkan pasport kepada mahkamah dan kesemua kes akan disebut semula 30 Oktober depan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Umar Saifuddin Jaafar manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Gabriel Susayan, Radehayati Johateh, Mona Hazratulaswati Fauzi, V. Kumaresan dan Syed Ismat Syed Muhamad.

Datuk Mohd Isa Endot, Kastam

Artikel Sebelum

Ahli PAS Sampai Ajal - Saari

Artikel Berikut

Artikel Lain