suria

Malaysia Gesa Perhebat Usaha Dapat Keadilan Untuk Palestin - Anifah

Anifah Aman.
KUALA LUMPUR: Dalam usaha membuatkan Israel bertanggungjawab terhadap tindakannya di Gaza, Jawatankuasa Palestin harus meningkatkan usaha untuk mendapatkan keadilan melalui pelbagai mekanisme Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata Jawatankuasa berkenaan perlu mengambil inisiatif ini sebagai keadilan untuk Palestin dan ia perlu dilakukan melalui Majlis Keselamatan dan Majlis Hak Asasi Manusia.

"Sudah tiba masanya, kita bergerak melampaui perkataan dan menumpukan usaha ke arah pendekatan lebih konkrit," katanya pada Mesyuarat peringkat Menteri anggota Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM) di New York pada 26 September.

Teks ucapan beliau dihantar kepada Bernama pada Ahad.

Anifah berkata jawatankuasa itu juga perlu menuntut agar diadakan Persidangan bersama negara-negara yang telah menandatangani perjanjian di Konvensyen Geneva keempat dan menangani ketidakpatuhan berterusan Israel dalam peruntukan instrumen berkenaan.

"Delegasi saya berharap bahawa rundingan berterusan antara negara-negara yang telah menandatangani perjanjian dan Switzerland sebagai depositori kepada Konvensyen Geneva, akan menjurus kepada perbincangan yang cepat pada persidangan itu," katanya.

Beliau berkata Jawatankuasa juga perlu memohon Presiden Perhimpunan Agung PBB untuk mengadakan semula Sesi Khas Kecemasan Kesepuluh Perhimpunan Agung, untuk mempertimbangkan tindakan kependudukan Isreal yang menyalahi undang-undang di wilayah Palestin.

Menurut Anifah satu lagi inisiatif yang perlu diambil untuk membuatkan Israel bertanggungjawab atas tindakannya adalah dengan menyokong gesaan Kerajaan Palestin untuk meletakkan Palestin di bawah sistem perlindungan antarabangsa PBB.

Anifah berkata jawatankuasa itu perlu menggembleng usaha untuk mendapatkan sokongan sebanyak mungkin dari kalangan negara-negara anggota untuk resolusi Perhimpunan Agung yang berkaitan dengan Palestin semasa sesi ke-69 yang akan datang.

Beliau berkata ini termasuk Jawatankuasa Khas untuk Menyiasat Amalan Israel yang memberi kesan terhadap Hak Asasi Manusia Rakyat Palestin dan orang Arab ke atas wilayah yang diduduki dan Jawatankuasa mengenai Pelaksanaan hak yang tidak dinafikan kepada rakyat Palestin.

Selain itu, menurut Anifah, akhirnya, Malaysia menggariskan keperluan untuk menamatkan pendudukan haram di wilayah Palestin.

"Kami tidak lagi mahu masyarakat antarabangsa mengagalkan kami dalam permintaan ini.

"Oleh itu, delegasi saya mengesahkan keputusan Liga Arab baru-baru ini untuk melibatkan Majlis Keselamatan agar mengguna pakai resolusi yang menetapkan dengan jelas tarikh bagi menamatkan kependudukan itu," katanya.


Anifah Aman, Palestin

Artikel Berikut

PKR, DAP Pembuli - Nik Abduh

Artikel Lain