suria

Najib Puas Hati Lawatan Ke AS Lancar

Najib ceria ketika berselfie bersama peserta 1M4U di majlis pelancaran 1M4U "Aspire Young Malaysians" dan aktiviti sukarelawan di Lincoln Square Neighbourhood Centre di New York, Jumaat.
NEW YORK: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak gembira dan puas hati dengan lawatan kerja selama sembilan hari ke Amerika Syarikat (AS) bermula 20 September lepas merangkumi 11 tugas membabitkan hal ehwal antarabangsa, ekonomi dan belia.


Tugas berkenaan termasuk berucap pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNGA), menghadiri mesyuarat perubahan iklim, meraih sokongan terhadap pencalonan Malaysia sebagai wakil tidak tetap Majlis Keselamatan PBB (UNSC).

Dalam meningkatkan hubungan Malaysia dengan negara-negara lain, Perdana Menteri mengadakan pertemuan berasingan dengan rakan sejawatan dari Netherlands (Mark Rutte), Pakistan (Muhammad Nawas Sharif), Luxembourg (Xavier Bettel) dan Tunisia (Dr Mohamed Moncef Marzouki).

Mesyuarat berkenaan berlangsung di luar acara UNGA, di sini.

"Kita mendapat pengiktirafan daripada orang lain termasuk Presiden Amerika Syarikat Barack Obama yang mengiktiraf usaha-usaha Malaysia dalam mengubah negara menjadi ekonomi maju ketika Obama menyebut perkara itu dalam ucapannya di UNGA," kata Najib.

Najib berharap lawatan ini dapat meningkatkan profil Malaysia ke tahap yang lebih tinggi terutamanya jika negara berjaya menduduki kerusi UNSC.

Dari segi ekonomi, Najib mengadakan pertemuan dengan pengurus dana rakyat Amerika, pelabur dan pemimpin perniagaan untuk menarik mereka menjalankan perniagaan atau meningkatkan pelaburan di Malaysia.

"Respons mereka terhadap Malaysia amat menggalakkan. Semoga pencapaian itu dapat diukur dari segi peningkatan pelaburan," katanya.

Dalam membangunkan bidang bioteknologi, inovasi dan teknologi negara, Najib mengadakan pertemuan berasingan dengan panel pakar dalam semua sektor berkenaan, di sini.

Perdana Menteri turut menyampaikan Anugerah Biasiswa Perdana kepada 31 pelajar cemerlang di AS semasa mengadakan pertemuan dengan pelajar berkenaan.

Perdana Menteri turut diundang untuk berucap di Georgetown University di Washington D.C.

Semasa mengadakan pertemuan dengan belia Malaysia di negara ini, beliau melancarkan 1M4U Aspirasi Belia Malaysia dan aktiviti sukarelawan di Pusat Kejiranan Lincoln Square di sini.

Aktiviti sukarela itu merangkumi kerja-kerja mengecat pusat kejiranan berkenaan, menanam tumbuhan yang boleh digunakan di taman dan menyediakan makanan untuk warga tua.

Najib juga tidak melepaskan peluang untuk bertemu dengan diaspora rakyat Malaysia yang belajar, bekerja dan tinggal di negara ini semasa menghoskan majlis makan malam di sini.

"Sama ada di New York atau di mana-mana pelusuk dunia, kita adalah rakyat Malaysia. Berbanggalah jadi rakyat Malaysia. Anda masih rakyat Malaysia yang sebenar. Apa yang penting ialah untuk bersama kami sebagai IMalaysia," katanya.

"Saya gembira dan berpuas hati dengan lawatan ini kerana ia benar-benar menyeluruh dan pelbagai," katanya.

Najib yang diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor, akan berlepas pulang ke tanah air pada Ahad (Isnin di Malaysia).



Artikel Berikut

Khidmat Tulis Wasiat Meningkat

Artikel Lain