suria

SPRM, Jabatan Hutan Bentuk Jawatankuasa Perkukuh Integriti, Tangani Rasuah

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia pada dasarnya telah bersetuju untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa bersama bagi memantapkan integriti berkaitan perhutanan dan pembalakan serta menangani gejala rasuah dengan lebih efektif.


Perkara ini diputuskan pada satu pertemuan disertai SPRM dan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, baru-baru ini.

Timbalan Ketua Pesurujaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Mustafar Ali berkata, pihaknya menyambut baik idea penubuhan jawatankuasa khas yang dianggotai oleh SPRM dan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia kerana ia akan menyediakan suatu platform terbaik bagi menangani gejala rasuah, di samping mempertingkatkan integriti dalam pelaksanaan tugasan jabatan dan semua pihak yang berkaitan.

"Ketua Pengarah Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia mencetuskan idea ini. SPRM menyambut baik dan merasakan perlu sebuah jawatankuasa bersama kerana ia akan membawa peranan yang lebih efektif kedua-dua agensi ini," kata beliau.

Datuk Mustafar berkata, kebelakangan ini terdapat siri laporan media berkaitan isu pencerobohan hutan, antaranya di Cameron Highlands dan beberapa tempat lain.

"Jawatankuasa ini akan memfokus isu-isu yang dibangkitkan oleh publik secara komprehensif," kata beliau.

SPRM dan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia telah mengadakan sesi perbincangan di ibu negara baru-baru ini sebagai satu program integriti dalam usaha Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia dan SPRM, bagi membetulkan persepsi masyarakat selain menggalakkan lagi kolaborasi untuk memantapkan tadbir urus dan sistem penyampaian di Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia.

Pada sesi pertemuan ini, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia diketuai oleh Ketua Pengarahnya, Dato' Profesor Dr. Abd Rahman Abd Rahim bersama Pengarah-pengarah Jabatan Perhutanan Negeri dan Bahagian.

Selain Mustafar, SPRM diwakili oleh Pengarah Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan SPRM, Dato' Mohd Yusoff Akope. Dalam pada itu, Dr Abd Rahman menyambut baik pertemuan antara SPRM dan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia sambil menyifatkan keputusan mengadakan jawatankuasa khas sebagai "satu anjakan positif bagi menangani gejala rasuah dalam sektor perhutanan."

Kata beliau, penubuhan jawatankuasa khas ini bukan menandakan rasuah sebagai satu isu serius dalam sektor perhutanan, tetapi langkah awal yang bersepadu sangat penting dan komitmen jabatan dalam menanganinya. "Kerjasama antara agensi adalah penting bagi memperkukuhkan integriti dan menangani isu rasuah, dan pada masa yang sama, membetulkan persepsi di kalangan orang ramai.

"Kami menggalakkan maklumat daripada orang ramai tetapi ingin membetulkan pandangan dan tanggapan tidak tepat sesetengah pihak bahawa setiap kerja penebangan hutan membabitkan elemen rasuah," kata beliau.

Mustafar dan Dr Abd Rahman akan mengetuai jawatankuasa khas yang disyorkan ini.

SPRM, menerusi Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan pula akan berperanan memberi khidmat nasihat kepada ketua badan atau agensi awam dalam mengenal pasti punca berlakunya rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan berhubung amalan, sistem dan tatacara kerja.

Langkah itu disusuli dengan memberi khidmat nasihat kepada organisasi berkenaan termasuklah membuat syor penambahbaikan supaya pindaan sewajarnya dibuat ke atas amalan, sistem dan tatacara berkenaaan supaya perlakuan rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan dapat dikekang.

Artikel Lain