suria

Pembangunan: Harapan Rakyat Kepada Azmin

KLANG: Pelantikan Mohamed Azmin Ali sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu diterima dengan hati terbuka dan rakyat menantikan pembangunan pada era pentadbirannya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sijangkang, Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, beliau menerima keputusan pelantikan Azmin dengan hati terbuka.

Dr Ahmad Yunus yang merupakan antara calon disenarai pendek bagi memegang jawatan itu menyifatkan keutamaan selepas ini ialah pembangunan di Selangor.

"Apa yang penting sekarang adalah bagaimana hendak membangunkan Selangor, ini yang ditunggu-tunggu rakyat," katanya kepada pemberita di Istana Alam Shah di sini Selasa selepas majlis angkat sumpah Azmin sebagai menteri besar yang baharu.

Selain Azmin dan Dr Ahmad Yunus, Adun Chempaka, Iskandar Abdul Samad juga merupakan calon yang disenarai pendek bagi jawatan menteri besar, dan telah menghadap Sultan Selangor secara berasingan pada minggu lalu.

Sementara itu, Iskandar yang dihubungi hanya berkata, beliau menerima keputusan Azmin dilantik sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu.

"Saya terima keputusan ini," katanya tanpa mengulas lanjut.

Presiden pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Jalur Tiga (Jati), Datuk Dr Hasan Mohamed Ali berkata, cabaran bakal dihadapi Azmin adalah sebahagian  realiti menjadi menteri besar dan ahli politik.

Beliau bagaimanapun yakin dengan keupayaan Azmin dalam menangani cabaran-cabaran itu berdasarkan pengalamannya di peringkat persekutuan dan negeri.

"Saya juga ingin memberi pesanan kepada beliau bahawa perlu adanya istiqamah dalam apa juga bentuk yang dilakukan, berlandaskan amalan Islam.

"Saya hendak lihat beliau menjadi contoh menteri besar kepada Islam, Melayu dan contoh mempertahankan institusi beraja, dan akhirnya menjadi aset kepada rakyat Selangor," kata Hasan.

Azmin Ali, pembangunan, rakyat

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain