suria

Lelaki Bersenjata Tidak Dikenali Tembak Dua Lelaki Di Upacara Pengebumian

BUTTERWORTH: Seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera selepas ditembak oleh seorang lelaki bersenjata tidak dikenali di Kg Selamat, Tasek Gelugor ketika mereka menghadiri upacara pengembumian di sana kira-kira pukul 10.45 malam Isnin.

Mangsa yang dikenali sebagai Leeh Wooi Shong, 34, seorang petani maut selepas terkena dua tembakan di kepalanya.

Beliau dihantar ke Hospital Kepala Batas sebelum meninggal dunia kira-kira pukul 2.20 petang Selasa.

Seorang lagi mangsa, Ng Chiau Lin, 38, yang terselamat dalam serangan itu, ditembak di bahagian tangan dan masih menerima rawatan di Hospital Pakar Bagan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Abdul Rahman Ibrahim berkata polis menemui tiga kelongsong peluru di tempat kejadian dipercayai dari sepucuk senjata api 9mm.

"Kami percaya suspek mungkin mengenali mangsa tetapi polis sedang menjalankan siasatan awal untuk mencari motif serangan dan mengenal pasti penyerang tersebut," katanya.

Abdul Rahman berkata, sekumpulan individu yang berkumpul di rumah tersebut cuba mengejar lelaki bersenjata itu tetapi gagal menangkapnya.

Polis mengklasifikasikan kes itu dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Beliau turut menggesa saksi kejadian itu untuk tampil bagi membantu siasatan polis.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain