suria

Salur RM1.46 bilion Kepada Kerajaan Kelantan, PAS Bidas Kenyataan Tok Pa

PENGKALAN KUBOR: PAS, pada Ahad membidas kenyataan Pengarah Jentera Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor Datuk Mustapa Mohamed berhubung bantuan RM1.46 bilion yang telah disalurkan kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri dari tahun 2010-2014 untuk perbelanjaan mengurus.

Ahli Parlimen Kota Bharu Datuk Takiyuddin Hassan berkata, Mustapa sepetutunya perlu memberikan penjelasan terperinci mengenai bantuan tersebut dan ke mana ia disalurkan.

"Oleh itu, kami menuntut penjelasan lanjut daripada Datuk Seri Mustapa Mohamed atau pimpinan peringkat Persekutuan yang lain.

"Kalau boleh perincikan berapa sebenarnya yang diberikan kepada kerajaan negeri dan selebihnya kepada siapa.  Biarlah adil (kenyataan), janganlah kenyataan tergantung," katanya pada sidang media di Markas Besar PAS di sini, Ahad.

Penjelasan itu dituntut setelah PAS mendakwa sebahagian besar daripada RM1.46 bilion yang dinyatakan Mustapa digunakan sebagai perbelanjaan Jabatan Pembangunan Persekutan (JPP) Kelantan.

"Kalau pun betul jumlah RM1.46 bilion telah disalurkan ke Kelantan, sebahagian besarnya adalah untuk perbelanjaan jabatan-jabatan kerajaan Pusat yang mana ia disalurkan kepada JPP Kelantan," katanya.

Katanya, status pembentukan JPP Kelantan itu juga menimbulkan persoalan kepada kerajaan negeri yang menganggap pembentukannya sebagai melanggar Perlembagaan.

Beliau mendakwa, jabatan tersebut tidak patut wujud dalam sebuah negeri kerana ia menggambarkan seolah-olah 'ada kerajaan dalam kerajaan'.

"Apabila rakyat memilih sebuah kerajaan negeri maka apa-apa penyaluran bantuan daripada kerajaan Persekutuan harus disalurkan kepada kerajaan negeri selain kepada JPP," katanya.

Sementara itu Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaafar dalam sidang media yang sama membidas Mustapa kerana mengeluarkan kenyataan dengan memberikan jumlah bantuan kerajaan Persekutuan yang besar kepada Kelantan.

Katanya, jumlah tersebut kelihatan besar tapi pada hakikatnya tidak bagi negeri itu.

Beliau mendakwa, tanggungjawab membina sebuah lebuh raya sepatutnya perlu dilaksanakan oleh kerajaan Persekutuan tetapi rakyat Kelantan telah diabaikan hak untuk menikmati kemudahan infrastruktur tersebut.

Katanya, Umno dan Mustapa telah gagal membawa perubahan dan pembaharuan dari segi pembangunan di Kelantan berbanding Umno yang lama.

"Sekurang-kurangnya pemimpin sebelum beliau seperti Tengku Razaleigh boleh juga buat lebuh raya antara Gua Musang - Kuala Krai berbanding Umno yang lama dalam sejarah Kelantan," katanya.

PAS, Umno, Pengkalan Kubor

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain