suria

BN Naikkan Papan Iklan Tuntutan Royalti, PAS Lapor SPR

Papan iklan yang didakwa milik BN di Pengkalan Kubor.

PENGKALAN KUBOR: PAS mendakwa akan membuat aduan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung papan iklan yang digunakan oleh Barisan Nasional (BN) sebagai bahan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor mengenai tuntutan royalti bernilai RM12 bilion oleh kerajaan negeri.

Ahli Parlimen Kota Bharu Datuk Takiyuddin Hassan berkata, iu royalti tidak harus dibangkitkan kerana ia masih berada dalam proses mahkamah, justeru itu pihaknya akan meminta peguam parti untuk mengkaji isu ini.

"Perkara itu tak sepatutnya dibangkitkan. Kita akan buat aduan kepada SPR dan mungkin peguam kita akan mengkaji, ia (tuntutan) masih berada dalam mahkamah sekarang ini, ia subjudis.

"Mana-mana pihak yang membangkitkan perkara yang ada dalam mahkamah secara fakta bahawa kita membuat tuntutan bernilai RM12 juta adalah satu penghinaan kepada mahkamah dan boleh dikenakan tindakan," katanya pada sidang media Pilihan Raya Kecil (PRK) Pengkalan Kubor di sini, Sabtu.

Pada Jumaat, sebuah papan iklan telah dinaikkan bersebelahan markas besar BN di Pengkalan Kubor dengan tulisan 'RM12 bilion fitnah besar PAS' bersama, beberapa baris penjelasan.

Takiyuddin berkata, papan iklan tersebut merupakan satu provokasi dan memberi peringatan kepada musuh politiknya supaya berkempen secara berhemah dan mengikut undang-undang.

"Kita minta SPR turunkan perkara-perkara (billboard) seumpama ini. Ini bercanggah dengan undang-undang," katanya.

Dalam pada itu, ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Ketua Penerangan PAS Kelantan, Datuk Mohd Nasruddin Daud yang turut membangkitkan isu royalti dalam ceramah-ceramahnya, Takiyuddin menjelaskan, hasil penelitian terhadap video ceramah tersebut mendapati apa yang dikatakan Nasruddin adalah 'satu perkara umum'.

"Bagi saya itu satu perkara umum, yang tak ada dalam mahkamah.

"Saya tak boleh komen , ia dalam siasatan polis. Saya ikut undang-undang, dalam siasatan polis kita tak sentuh," katanya sambil berkata tuntutan RM12 bilion dibuat berdasarkan perkiraan kerajaan negeri.

Pada Jumaat, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan BN bertanggungjawab untuk memberikan penjelasan kepada rakyat mengenai kekeliruan yang ditimbulkan PAS dan NGO 'R' mengenai isu royalti.

Katanya, BN tidak boleh berdiam diri apabila pihak lawan memainkan isu royalti dalam kempen PRK Pengkalan Kubor kerana pengundi perlu mendapat penjelasan yang betul.

PAS sebelum ini mendakwa syarikat minyak dan carigali Petronas tidak membayar royalti berjumlah RM12 bilion kepada kerajaan Kelantan.
Pengkalan Kubor, PAS, BN

Artikel Berikut

Artikel Lain