suria

UPSR Bocor: 10 Individu Ditahan Sehingga Rabu

Anggota polis membawa salah seorang daripada tiga guru termasuk seorang wanita untuk mendapatkan perintah tahanan reman bagi membantu siasatan berhubung kes kebocoran soalan UPSR di Mahkamah Majistret Putrajaya Putrajaya, Rabu. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Seramai 10 individu ditahan polis berhubung kes kebocoran soalan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi mata pelajaran Sains dan Bahasa Inggeris, setakat Rabu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur SAC Gan Kong Meng berkata, daripada 10 individu itu, lapan adalah guru serta masing-masing seorang ejen insurans dan jurutera.

"Sepuluh individu itu termasuk tiga guru yang ditahan di Negeri Sembilan malam tadi," katanya dalam kenyataan di sini, Rabu.

Isnin lepas, empat lelaki direman selama empat hari hingga Khamis, manakala semalam polis memperoleh perintah mahkamah menahan reman seorang jurutera selama empat hari.

Polis turut memperoleh perintah mahkamah pada Rabu bagi menahan reman tiga guru termasuk seorang wanita selama empat hari.

"Dua lagi guru yang ditahan Ahad lepas telah dibebaskan atas jaminan polis selepas diambil keterangan mereka pada hari yang sama (Ahad)," katanya.

Sehingga kini, seramai 18 individu telah dipanggil untuk memberi keterangan termasuk enam pegawai Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM), sembilan guru, dan masing masing seorang wartawan, ejen insurans dan jurutera.

Berikutan kebocoran itu, kertas peperiksaan Bahasa Inggeris 014/1 dan 014/2 dibatalkan setelah murid mendudukinya Khamis lepas manakala kertas peperiksaan Sains 018, 028 dan 038 terpaksa ditangguhkan sebelum pelajar mendudukinya pada hari yang sama. 

Lembaga Peperiksaan Malaysia menetapkan 30 Sept sebagai tarikh baharu peperiksaan bagi kedua-dua mata pelajaran tersebut.

UPSR Bocor

Artikel Lain