Dr Azmi, 45, memohon satu perintah bahawa Mahkamah Sesyen merujuk kes hasutan beliau ke Mahkamah Tinggi untuk menentukan keperlembagaan Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 itu.
Beliau turut memohon perintah untuk menggantung kes tersebut sementara menunggu pertuduhan terhadapnya dibatalkan.
Peguamnya, Gobind Singh Deo berkata, Mahkamah Sesyen mempunyai kuasa untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi bagi menentukan perkara yang dibangkitkan di bawah Seksyen 30 Akta Mahkamah Pengadilan 1964.
"Ordinan Hasutan telah digubal pada 1948 sebelum merdeka. Ia disemak semula menerusi Undang-Undang Semakan Suruhanjaya dan diwartakan sebagai undang-undang.
"Ia tidak diluluskan menerusi Parlimen dan oleh itu ia tidak boleh menghalang hak Dr Azmi untuk bersuara seperti yang dibenarkan dibawah Artikel 10 (2) Perlembagaan Persekutuan. Oleh itu, ia tidak mengikut Perlembagaan," katanya.
Pada 2 September lalu, Dr Azmi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan mengeluarkan kenyataan yang didakwa berbaur hasutan dalam sebuah portal mengenai krisis politik di Perak pada 2009.


