suria

Tidak Perlu Ke Luar Negara Untuk Pemindahan Hati - KP Kesihatan

Dr Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR: Kanak-kanak yang menghidapi kegagalan hati, Putra Muhammad Ilyas Rahizal Khiri, tidak perlu menjalani pembedahan pemindahan hati di luar negara kerana ia boleh dilakukan di hospital kerajaan dengan kos minimum.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata ini sekaligus menggugurkan keperluan mengumpul dana daripada orang ramai bagi membiayai pembedahan itu di luar negara.

"Keluarga pesakit itu dinasihatkan menghubungi semula Hospital Selayang untuk penjelasan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Pada Khamis, akhbar melaporkan kanak-kanak lelaki berusia dua tahun itu, yang menghidapi 'biliary atresia', memerlukan bantuan kewangan RM150,000 untuk membiayai kos pembedahan  di New Delhi, India dalam tempoh dua bulan lagi.

Dr Noor Hisham menjelaskan pembedahan pemindahan hati, baik daripada penderma masih hidup mahupun yang telah meninggal dunia, dijalankan di Hospital Selayang sejak 2002.

Beliau berkata pembedahan pemindahan hati dijalankan di hospital berkenaan dengan caj tidak lebih RM500. Penjawat awam, pesara dan anggota keluarga pesara perkhidmatan awam tidak dikenakan sebarang bayaran mengikut peraturan sedia ada.

Mengenai kesesuaian penderma, Dr Noor Hisham berkata penderma yang masih hidup lazimnya terdiri daripada anggota keluarga terdekat termasuk ibu bapa pesakit.

"Pembedahan melibatkan penderma masih hidup boleh dilakukan secepat mungkin tanpa menunggu, dengan syarat penderma sesuai untuk menderma organnya dan keadaan klinikal pesakit adalah optimum dan mengizinkan," katanya.

Beliau berkata jika tiada anggota keluarga yang bersedia menderma organ semasa hidup, pesakit akan disenaraikan untuk menerima organ daripada penderma yang telah meninggal dunia.

Ini mengambil masa lebih panjang kerana pesakit perlu menunggu giliran, katanya.

Pada masa ini, seramai 14 pesakit sedang menunggu untuk menjalani pemindahan hati daripada penderma yang telah meninggal dunia. 

derma hati, hospital kerajaan

Artikel Lain