suria

Tragedi MH17 Dedah Persoalan Standard Keselamatan Laluan Penerbangan

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata tragedi penerbangan Malaysia Airlines (MAS) MH17 telah mendedahkan satu kebenaran yang meresahkan iaitu tidak ada standard yang jelas untuk menentukan keselamatan sesuatu laluan penerbangan.

Perdana Menteri berkata Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) mengeluarkan nasihat mengenai kawasan-kawasan yang perlu dielak tetapi tidak mengisytihar laluan penerbangan yang tidak selamat.

Beliau berkata syarikat penerbangan mengguna pakai pendekatan jauh berbeza untuk zon konflik tetapi penumpang dibiarkan tertanya-tanya pihak mana yang memastikan keselamatan di ruang udara.

Dalam artikel yang diterbitkan dalam Financial Times, beliau berkata dalam beberapa minggu selepas nahas MH17, ia menjadi jelas bahawa syarikat-syarikat penerbangan mempunyai pendekatan jauh berbeza di kawasan zon konflik.

Menjelaskan pandangannya, Najib berkata: "Syarikat Lufthansa dari Jerman melintasi ruang udara Ukraine tetapi mengelak bahagian utara Iraq dan Israel.

"Qantas dari Australia melintasi ruang udara Iraq tetapi elak Ukraine dan Israel. British Airways pula melintasi ruang udara Israel tetapi mengelak Ukraine dan Iraq."

Beliau berkata perbezaan laluan yang digunakan pesawat berlaku kerana syarikat penerbangan tidak berkongsi penilaian risiko dan ini perlu diubah.

Dalam artikel bertajuk: 'Our skies will not be safe until nations share their knowledge' (Ruang udara tidak akan selamat sehingga negara-negara berkongsi pengetahuan masing-masing), perdana menteri berkata selepas nahas MH17, komuniti antarabangsa perlu meletakkan keselamatan bersama di atas kepentingan negara.

Mereka harus komited untuk berkongsi maklumat risiko penerbangan dalam kalangan syarikat penerbangan, badan penerbangan dan negara.

"Dengan berbuat demikian, kita boleh menghormati mangsa yang terkorban dengan membuatkan ruang udara kita lebih selamat untuk semua," katanya.

Najib menegaskan tanggungjawab terhadap kehilangan nyawa itu terletak pada mereka yang menjatuhkan pesawat tersebut serta berikrar akan menggunakan semua ruang dan peluang untuk mengheret mereka ke muka pengadilan.

Penerbangan MH17 terhempas di tumur Ukraine pada 17 Julai lepas apabila dipercayai ditembak jatuh di negara bergolak itu ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur dengan 283 penumpang dan 15 anak kapal.

Selain 43 penumpang dan anak kapal warga Malaysia, penumpang pesawat itu turut terdiri daripada warga Belanda, Australia, Indonesia, United Kingdom,Jerman, Belgium, Filipina, Kanada dan New Zealand.

Artikel Berikut

Artikel Lain