suria

Perjalanan Ke Lokasi Nahas Perlu Jaminan Keselamatan Menyeluruh - Hishammuddin

Hishammuddin Tun Hussein bersama Timbalan Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainuddin mengadakan sidang media setelah melakukan lawatan ke Rusia, Ukraine dan Belanda bagi menyelaras perbincangan lanjut berhubung nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Jumaat.

SEPANG: Penyiasat Malaysia perlu diberikan jaminan keselamatan menyeluruh sepanjang perjalanan mereka ke lokasi nahas pesawa tPenerbangan Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 di timur Ukraine, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata atas sebab itu, keputusan untuk memasuki ke lokasi nahas hanya boleh dilakukan selepas menerima laporan terperinci daripada semua pihak termasuk pihak perisik.   

"Kita perlu tahu kawasan itu dikuasai pihak mana dan mesti akur dengan arahan pihak terbabit," katanya pada sidang media selepas tiba di LapanganTerbang Antarabangsa KL (KLIA) pada Jumaat sekembalinya daripada lawatan kerja ke Ukraine, Russia dan Belanda.   

Pesawat MH17 terhempas di timur Ukraine pada 17 Julai lepas apabila ditembak jatuh di negara bergolak itu ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur dengan membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal.    

Selain 43 penumpang dan anak kapal warga Malaysia, pesawat itu membawa penumpang pesawat warga Belanda, Australia, Indonesia, United Kingdom, Jerman, Belgium, Filipina, Kanada dan New Zealand.  

Hishammuddin berkata pasukan penyiasat Malaysia tidak akan memasuki kawasan nahas bersendirian sebaliknya bergerak bersama-sama pasukan Belanda dan Ukraine untuk mengurangkan risiko.   

Beliau berkata kerajaan tetap meneruskan operasi itu walaupun bahaya, tanpa memperjudikan keselamatan anggota penyiasat Malaysia.

Ditanya mengenai hasil lawatannya, Hishammuddin berkata lawatan kali ini amat rumit tetapi ia memberi harapan tinggi kerana semua pihak berkepentingan berada di landasan yang sama dengan Malaysia.   

"Lawatan kali ini bukan mudah dilakukan. Bukan banyak negara dapat diterima dalam keadaan Ukraine sedang bergolak tapi kita dapat diterima baik dan dapat mengkoordinasi hala tuju siasatan MH17," katanya.    

Semasa lawatan itu, Hishammuddin mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri Ukraine Volodymyr Groysman, Timbalan Menteri Luar Rusia Grigory Borisovich Karasin dan Menteri Pertahanan Belanda Hennis-Plasschaert. 

Artikel Lain