suria

"Santiago Tak Reti Isu Air" - Khalid

SHAH ALAM:  Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim membidas kenyataan Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago yang mempertikaikan kredibiliti beliau menandatangani perjanjian air dengan kerajaan Persekutuan.

Khalid berkata, wakil rakyat DAP itu sepatutnya meneliti fakta perjanjian air tersebut sebelum membuat kenyataannya kepada media.

"Dia (Santiago) tak reti, sama macam isu dia tak reti pasal air beracun di kolam takungan.

"Sebagai golongan profesional mereka sepatutnya meneliti fakta terlebih dahulu sebelum membuat kenyataan. Jika tidak kita tidak lihat mereka sebagai pemimpin yang membantu membangunkan komuniti dan negara.

"Asyik tembak sini saja je... tak beri nilai tambah walaupun nampak sibuk, tapi tak beri manfaat kepada rakyat, " katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Bangunan Sultan Salahuddin Idris Shah pada Rabu.

Pada Selasa, Santiago dilaporkan mempertikaikan kesahihan tindakan Khalid menandatangani perjanjian air dengan kerajaan Persekutuan selain mempersoalkan kewajaran menteri besar itu memetrai perjanjian air bernilai RM9.65 bilion.

Sebelum ini media melaporkan perjanjian air antara Khalid dan kerajaan pusat dijangka lengkap menjelang hujung minggu ini.

Santiago dipetik sebagai berkata, tandatangan ketika pertukaran kepimpinan boleh menimbulkan persoalan mengenai moral dan kesahihan undang-undang, khususnya selepas tiada keterbukaan dan ketelusan dalam perjanjian tersebut sebelum ini.

Justeru, beliau mendesak kerajaan pusat supaya tidak tergesa-gesa untuk melengkapkan perjanjian tersebut, sebaliknya menunggu hingga menteri besar baharu dilantik.

Februari lalu, Khalid menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) air dengan kerajaan Persekutuan, bagaimanapun tindakan beliau menimbulkan kecaman dan kritikan daripada partinya sendiri.

Perjanjian air itu juga didakwa menjadi punca Khalid dipecat daripada PKR dan digesa meletakkan jawatan sebagai menteri besar.

Rancangan pengambilalihan berkenaan dilakukan ekoran rungutan dan kekhuatiran masyarakat terhadap masalah bekalan air yang melanda Selangor.

Pertikaian berhubung isu air di Selangor mula mendapat perhatian apabila pembinaan Loji Langat 2 dihentikan selepas Pilihan Raya Umum pada 2008 apabila pakatan pembangkang menewaskan Barisan Nasional (BN) di Selangor.

Selangor

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Krisis MB: Khalid 'Tutup Mulut'

Artikel Lain