suria

Penceramah Bebas Didakwa Diatas Tuduhan Menghasut

Wan Ji (tengah) ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Rabu.

SHAH ALAM: Seorang penceramah bebas pada Rabu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap pertuduhan menerbitkan penerbitan menghasut bagi menghina Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah melalui laman sosial Facebook dua tahun lepas.

Wan Ji Wan Hussin, 32, didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Perumahan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Tingkat 5, Bangunan Sultan Salehuddin Abdul Aziz Shah, Seksyen 5 di sini pada 10 pagi, 5 Nov lepas.

Wan Ji didakwa mengikut Seksyen 4(1)(C) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Peguam mewakili tertuduh, Radzlan Jalaludin memohon mahkamah menetapkan wang jaminan RM2,000 atas alasan anak guamnya tidak berkemampuan kerana perlu menanggung empat orang anak.

Hakim Slamat Yahya membenarkan Wan Ji diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 10 Okt untuk sebutan kes.

Hakim turut memerintahkan tertuduh, yang juga merupakan bekas anggota Jawatankuasa PAS Selangor menyerahkan pasportnya, namun Wan Ji mendakwa dokumen berkenaan telah hilang.

Berikutan itu, mahkamah mengeluarkan arahan kepada Jabatan Imigresen untuk menyekat tertuduh supaya tidak ke luar negara.

Pendakwaan dikendalikan oleh Ketua Unit Pendakwaan Selangor Mohd Azari Harun. Wan Ji membayar wang jaminan itu.


Mahkamah, Selangor

Artikel Berikut

Artikel Lain