suria

Kerajaan Yakin MAS Mampu Dipulihkan

Datuk Seri Najib Tun Razak
KUALA LUMPUR: Kerajaan yakin bahawa pelan pemulihan syarikat Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) yang diumumkan Khazanah Nasional Berhad akan membawa keuntungan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, penstrukturan semula syarikat penerbangan itu perlu dilakukan kerana industri penerbangan adalah sebuah industri yang berhadapan saingan sengit.

"Khazanah berpengalaman memulih semula UEM yang sekarang ini mempunyai kapasiti pasaran yang besar. 

"Industri penerbangan ini sangat kompetitif, kalau tak buat penstrukturan semula secara menyeluruh, bukan secara sedikit demi sedikit, maka penyusunan semula MAS tidak akan berjaya," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di sini, Jumaat.

Najib berkata, MAS perlu terus wujud kerana rakyat mahu ia terus menjadi sebuah syarikat penerbangan nasional yang boleh dibanggakan.

Selain itu katanya, beberapa langkah dan prinsip lain juga telah digariskan bagi memastikan rancangan pemulihan ini berjaya termasuklah memastikan MAS menjadi menjadi syarikat berdaya maju dari segi komersial.

"Umpamanya kalau kerajaan mahu MAS terbang ke satu destinasi dari segi pembangunan, kerajaan perlu beri subsidi...segala keputusan yang dibuat oleh MAS mestilah berdasarkan pertimbangan komersial.

"Kita hendak apa juga langkah penyusunan semula dibuat secara berperikemanusiaan dan belas kasihan. Misalnya kita boleh sediakan pekerjaan alternatif untuk mereka (kakitangan)," katanya.

Dalam pada itu, Najib berkata, dana RM6 bilion yang disuntik oleh kerajaan bukanlah 'langkah menyelamat' kerana dana itu akan diperoleh semula dalam tempoh tiga tahun selepas dinyah senarai, yang disasarkan selesai akhir tahun ini.

Sebaliknya beliau berkata, dana RM6 bilion itu adalah satu pelaburan bagi memastikan syarikat itu terus relevan.
Khazanah pada Jumaat mengumumkan 12 pelan rancangan pemulihan MAS termasuklah mengurangkan jumlah pekerja sebanyak 30 peratus.

MAS, Khazanah, Najib TUn Razak

Artikel Lain