suria

Tambahan 60 Penyelia Pantau Keselamatan Tapak MRT - Gamuda

KUALA LUMPUR: Kira-kira 60 penyelia akan ditambah bagi memantau pembinaan projek MRT berikutan kemalangan yang meragut tiga nyawa di salah satu tapak binaannya.

Pengarah Urusan Kumpulan Gamuda Bhd, Datuk Lin Yun Ling berkata, mereka akan melengkapkan 300 perunding yang sudah pun menyelia pembinaan Transit Aliran Massa melibatkan 12,000 kakitangan.

"Tumpuan mereka bukan sahaja terhadap keselamatan. Tanggungjawab mereka juga (akan) mengenai kualiti kerja yang telah siap, jadi mereka juga boleh menumpukan jaminan kualiti dan kawalan kualiti," katanya kepada pemberita di pejabat Pemandu di sini, Khamis.

Lin berkata, kesemua penyelia itu adalah dari pemaju projek, MMC-Gamuda.

Turut serta Ketua Eksekutif Pemandu, Datuk Seri Idris Jala, beliau menambah, MMC-Gamuda mengeluarkan dasar toleransi sifar di kawasan berisiko tinggi dari kawasan Persiaran Surian ke Semantan dua bulan lalu.

Beliau berkata, MMC-Gamuda akan memperluaskan dasar toleransi sifar kepada keseluruhan projek.

Tiga pekerja binaan warga Bangladesh maut apabila tertimbus di bawah runtuhan konkrit seberat 300 tan pada 18 Ogos lalu, dekat Institut Penyelidikan Getah Malaysia (RRI).

Mayat mereka telah diterbangkan ke Bangladesh pada Isnin lalu, dan keluarga mereka mendapat pampasan RM25,000 seorang.

Ketua Eksekutif MRT Corp, Datuk Azhar Abdul Hamid meletakkan jawatan ekoran insiden itu walaupun perletakan jawatannya ditolak oleh lembaga pengarah syarikat.

Enam hari selepas insiden itu, satu lagi kejadian melibatkan beberapa segmen konkrit jatuh dari sebuah treler di sebuah jalan di Kuala Lumpur pada 24 Ogos lalu, mengakibatkan kesesakan lalu lintas.

MRT, Gamuda Bhd, Lin Yun Ling

Artikel Lain