suria

Indeks Syariah Mula Diguna Pakai Januari 2015

Najib menyampaikan sumbangan bantuan Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sebanyak RM 1.8 juta kepada NGO Islam yang diwakili oleh Presiden Pertubuhan Muafakat, Ismail Mina (kanan) pada majlis Perdana Ulama-Umara dan Anugerah Masjid Malaysia 2014 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini, Khamis.
PUTRAJAYA: Indeks syariah bagi mengukur pencapaian sesebuah negara dalam melaksanakan tuntutan syarak bakal diguna pakai mulai Januari tahun depan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.


Beliau berkata, indeks yang komprehensif itu sedang dibangunkan, diterajui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bersama Universiti Islam Antarabangsa dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).

"Banyak sangat polemik, ada yang kata kita negara Islam dan ada yang kata sebaliknya.. bagaimana usaha kita untuk mengisi tuntutan Islam, syariat Islam, mesti ada ukuran yang saintifik.

"Bila ada indeks ini, kita boleh buat ukuran dan negara boleh buat perbandingan dengan negara lain, kalau ada yang dah berjaya Alhamdulillah, kalau masih ada kekurangan lagi kita sama-sama perbaiki," katanya semasa berucap pada Majlis Perdana Ulama-Umarak dan Anugerah Masjid Malaysia 2014 di sini Khamis.

Turut hadir pada majlis yang menghimpunkan lebih 3,000 ulama dan umarak itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Ketua Pengarah Jakim Datuk Othman Mustapa.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, kumpulan ulama dan umarak adalah dua kumpulan penting dan sekiranya permuafakatan jitu diwujudkan sudah tentu sekali nasib umat Islam dan ummah akan lebih cemerlang dan terbilang.

"Kalau ulama bersama dengan kita, kita boleh mencorak pentadbiran yang dituntut oleh Islam bukan sahaja kemajuan tetapi pembahagiaan kekayaan yang adil dan saksama.

"Keadilan inilah yang dituntut Islam dan saya harap ulama-ulama boleh bantu kerajaan ke arah menyediakan masyarakat kita supaya lebih adil dan saksama," katanya.

Beliau turut memetik sabda Rasulullah saw: "Ada dua kelompok manusia, jika kedua-duanya baik, maka masyarakat akan jadi baik, dan jika kedua-duanya rosak, maka masyarakat akan rosak, mereka itu ialah ulama dan umarak".

Di majlis itu, Perdana Menteri turut menyampaikan hadiah kepada Johan Anugerah Masjid Malaysia 2014 yang dimenangi Masjid As-Salam Puchong Perdana, Selangor bagi kategori Masjid Kariah sementara Masjid Sultan Yahya Petra Machang, Kelantan bagi kategori Masjid Daerah.

Kedua-dua pemenang membawa pulang wang tunai RM100,000, sijil penghargaan dan piala iringan.

Anugerah Masjid Malaysia diadakan buat julung kalinya sementara Majlis Perdana Ulama-Umarak adalah edisi keempat.


indeks syariah, Jakim

Artikel Lain