suria

MH370: Malaysia, Australia Kongsi Kos Untuk Kapal Carian Di Laut Dalam

Liow Tiong Lai.
CANBERRA: Malaysia bersetuju berkongsi kos dengan Australia untuk kapal Australia digunakan bagi melakukan pencarian terhadap pesawat penerbangan MH370 di laut dalam dengan Australia, kata Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Menteri Pengangkutan berkata, tender untuk peralatan khusus itu bernilai kira-kira AUD52 juta (RM153.1 juta).

"Kita akan berkongsi kos untuk peralatan bagi fasa baharu yang ditetapkan bermula bulan depan.

"Kos ini ditanggung kita untuk menggerakkan Prosas Side Scan Sonar yang akan dikerahkan untuk menyertai pencarian MH370 pada minggu pertama bulan September," katanya pada sidang media selepas mesyuarat dengan Australia dan China di Rumah Parlimen di sini, Khamis.

Liow berkata, Malaysia komited dan membelanjakan sebanyak RM50 juta sejak pesawat itu hilang pada 8 Mac lalu.

"Kita tidak akan berputus asa mencari pesawat itu," katanya.

Timbalan Perdana Menteri Australia, Warren Truss yang turut hadir berkata, pencarian di laut dalam dengan kapal Australia itu bersedia dilakukan dalam tempoh kira-kira 12 bulan.

"Kaji selidik batimetrik telah dianalisis dan akan digunakan dalam perancangan carian di bawah air.

"Kajian ini akan menjadi penting dalam menjalankan fasa baharu sistematik mencari pesawat," katanya.

Beliau menambah kawasan carian itu boleh beralih ke selatan dari lokasi semasa.

"Ia hanya perubahan kecil mengikut kaji selidik batimetrik yang dijalankan," katanya.

Liow Tiong Lai, MH370

Artikel Lain