suria

Tunggang Motor Dalam Keadaan 'Buta' Antara Tarikan Hari Kemerdekaan Ke-57

Sebahagian pelajar melakukan persembahan pada raptai sambutan Hari Kemerdekaan ke-57 di Dataran Merdeka di sini, Khamis.
KUALA LUMPUR: Menunggang motosikal berkuasa tinggi dalam keadaan mata ditutup antara tarikan utama pada sambutan peringkat nasional Hari Kemerdekaan ke-57, di sini Ahad ini.

Cabaran itu akan dipikul oleh Lans Koperal Mohd Aliff Affendi, 26, daripada pasukan lagak ngeri 'Army Red Warriors' tentera darat.


Beliau akan mengendalikan motosikal Naza Cruise 250cc tanpa penglihatan untuk jarak sejauh 200 meter dengan dinaiki oleh 30 pembonceng.

Selain itu, beliau juga berdepan dengan cabaran untuk mengawal motosikal dengan beban muatan sehingga 2,000 kilogram bagi memastikan ia tidak tersasar, ataupun berakhir dengan kecelakaan sewaktu pertunjukan tersebut.

"Setiap kali saya melakukan persembahan ini, perasaan saya bercampur baur antara gemuruh, risau, namun tersemat perasaan bangga yang amat sangat kerana dapat melakukan persembahan di hadapan Yang Di-Pertuan Agong dan kepimpinan tertinggi negara," katanya, Khamis.

Beliau berkata kepada Bernama selepas selesai menjalani raptai sempena Hari Kemerdekaan ke-57 yang akan disambut Ahad ini di Dataran Merdeka di sini.

Pertunjukan berisiko tinggi itu antara acara khas daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sempena sambutan itu yang bertemakan 'Malaysia...Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta'.

Beliau yang menyertai pasukan itu sejak lapan tahun lepas berkata, latihan berterusan dan kerjasama daripada setiap anggota amat perlu kerana sedikit sahaja kesilapan boleh mendatangkan kecederaan malah boleh membawa maut.

"Saya sendiri memerlukan persediaan fizikal dan mental yang tinggi setiap kali ada persembahan yang akan dilakukan oleh kumpulan kami selain komitmen daripada setiap anggota bagi mengelak kemalangan yang boleh membahayakan orang awam.

"Jika motosikal terbabas, anggota yang berada di sebelah kiri dan kanan akan turun dahulu untuk tolong sokong anggota yang berada di atas motosikal dan memastikan ia tidak terjatuh," katanya.

Sementara itu, bagi Lans Koperal Nurul Natasha Mohd Ali, 26, menyifatkan penyertaannya dalam pasukan aksi lasak tersebut bukan penghalang buat dirinya, apabila diterima dengan baik oleh rakan-rakan lelaki yang lain.

"Dalam pasukan ini, hanya ada empat wanita termasuk saya. Walaupun aksi lasak sering dikaitkan dengan golongan lelaki, namun saya sahut cabaran untuk turut serta bagi membuktikan wanita juga lasak seperti lelaki.

"Tak dinafikan perasaan gemuruh menguasai diri ketika mula-mula menyertai pasukan ini kerana sedar risiko tinggi, namun saya kuatkan diri dan lama-kelamaan, perasaan itu mula hilang," katanya dengan penuh bersemangat.


 

Artikel Lain