suria

Mayat Nenek Tiri Hishammuddin Bukan Di Kalangan 15 Yang Dikenal Pasti

Siti Amirah (kanan) bersama Mohd Noah.
PONTIAN: Mayat nenek tiri Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang menjadi mangsa nahas MH17 tidak termasuk di kalangan 15 mayat yang akan tiba Jumaat ini. 

"Mayat nenek tiri saya Siti Amirah tidak termasuk di kalangan 15 mayat rakyat Malaysia yang akan dibawa pulang pada Jumaat," kata Hishammuddin, sambil menambah enam daripadanya adalah beragama Islam manakala sembilan yang lain adalah bukan Islam.

Puan Sri Siti Amirah Kusuma, 83, adalah antara 298 penumpang dan anak kapal di atas penerbangan MH17 yang maut apabila pesawat MAS itu ditembak jatuh di timur Ukraine ketika dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.

Siti Amirah pernah berkahwin dengan Tan Sri Mohammad Noah Omar sebagai isteri kedua. Noah, yang meninggal dunia pada tahun 1990, adalah datuk kepada Hishammuddin dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Hishammuddin berkata, mayat mangsa Belanda juga akan berada dalam penerbangan tersebut kerana saudara terdekat telah meminta si mati untuk dikebumikan di Malaysia.

Dunia, katanya, akan menyaksikan Malaysia sebagai negara yang memberikan penghormatan terakhir kepada mangsa-mangsa MH17 sebaik sahaja mayat-mayat tiba dari Belanda.

"Semua rakyat Malaysia perlu menunjukkan solidariti mereka dengan memberikan penghormatan kepada mangsa-mangsa pada hari itu. Kami ingin memberi jaminan kepada keluarga mangsa bahawa mereka tidak keseorangan dan rakyat Malaysia turut sama bersedih dengan mereka," katanya kepada pemberita di sini, Sabtu.

Hishammuddin, yang juga naib presiden Umno, sebelum ini telah membuka mesyuarat Umno bahagian Tanjung Piai di Kolej Matrikulasi Teknikal Pontian di sini.

Beliau juga melahirkan harapan supaya semua rakyat Malaysia bertafakur selama satu minit semasa ketibaan keranda di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada pukul 10 pagi Jumaat ini.

Setelah upacara selesai, mayat akan diterbangkan dengan dua pesawat Charlie TUDM ke Kuching dan lima helikopter Nuri ke negeri-negeri lain di Semenanjung. 

Artikel Lain