suria

3 Rakyat Malaysia Berpotensi Terbabit Kumpulan Militan Dikenal Pasti

Datuk Dr Wan Junaidi
MIRI: Tiga lagi rakyat Malaysia telah dikenal pasti sebagai berpotensi terbabit dengan kumpulan militan dan mereka sedang dipantau oleh pihak berkuasa.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata pihak berkuasa telah mendapatkan butir-butir peribadi tiga remaja terbabit.

"Setiap langkah mereka dipantau dengan teliti oleh kementerian dan polis. Kita tahu nama-nama mereka, apa yang mereka lakukan, di mana mereka berada sekarang dan kami telah mengenal pasti mereka sebagai ancaman berpotensi anggota militan.

"Di Malaysia, mereka belum lagi melakukan apa-apa jenayah. Siasatan sedang dijalankan dan pihak kementerian dan polis akan bertindak apabila tiba masa yang betul," kata beliau dalam satu perjumpaan Hari Raya di Bandar Miri, Jumaat.

Pihak berkuasa, tambahnya, sedang menunggu untuk mengumpul bukti yang cukup untuk menangkap mereka.

Wan Junaidi yang juga Ahli Parlimen Santubong, berkata isu anggota militan Malaysia telah menjadi kebimbangan kerajaan kerana ia memberikan reputasi yang buruk kepada negara.

Walaupun Malaysia tidak menghadapi sebarang ancaman daripada kumpulan-kumpulan militan seperti itu, golongan muda ini, telah pergi ke luar negara untuk memperjuangkan apa yang mereka dianggap sebagai "jihad".

"Ada sesetengah rakyat Malaysia yang masih muda mendapat latihan ketenteraan supaya mereka boleh  berperang jihad di Timur Tengah walau pada hakikatnya, mereka tidak memahami apa yang betul dan apa yang salah. Mereka tidak tahu maksud sebenar jihad dan mereka pergi ke tempat-tempat seperti Syria dan mengambil bahagian untuk menggulingkan kerajaan di sana, "katanya.

Wan Junaidi juga menafikan dakwaan bahawa Putrajaya mungkin menjadi sasaran serangan militan.
DR Wan Junaidi, militan

Artikel Lain