suria

Insaniah Holdings Masih Wujud, Tetapi Tidak Beroperasi

ALOR SETAR: Insaniah Holdings, anak syarikat Kolej Universiti Insaniah (Kuin) dan anak-anak syarikatnya sehingga kini masih wujud, namun tidak beroperasi kerana tidak mempunyai sebarang aktiviti mahu pun sumber kewangan, kata kerajaan negeri.

Dalam jawapan bertulis yang dikemukakan pada persidangan Dewan Undangan Negeri, ia berkata sebahagian kakitangan Insaniah Holdings telah diserap masuk ke Kuin manakala sebahagianya terpaksa diberhentikan kerana syarikat tidak lagi beroperasi.

Soalan bertulis itu dikemukakan Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi (PAS-Pengkalan Kundor) yang ingin tahu tentang status Insaniah Holdings dan anak-anak syarikatnya dari segi operasi, kakitangan dan kewangan termasuk tanggungan hutang.

Menurut kerajaan negeri, syarikat berkenaan juga tidak mempunyai sumber kewangan untuk menampung kos emolumen.

"Mengenai tanggungan hutang dan bil, dalam makluman kerajaan negeri setakat ini ia mencecah RM30 juta termasuk kos sewa bangunan untuk dijadikan kampus sementara di Stargate dekat sini, ubah suai bangunan serta kos tambahan yang diperlukan untuk mengubah suai semula ke bentuk asal seperti dikehendaki pemilik," katanya.

Kerajaan negeri juga menyatakan bahawa sejak diwujudkan Insaniah Holdings, syarikat berkenaan tidak menjana sebarang pendapatan sebaliknya hanya menjual perkhidmatan dan mengambil alih operasi Kuin.

"Perbelanjaan operasi termasuk kos emolumen Insaniah Holdings dan anak-anak syarikatnya berjumlah RM13.53 juta setahun terpaksa ditanggung Kuin melalui peruntukan yang disalurkan kerajaan negeri.

"Sehingga Jun 2013, Kuin telah memberikan pendahuluan kepada Insaniah Holdings dan anak-anak syarikatnya sebanyak RM39.52 juta bagi membiayai kos operasi sejak 2008," katanya.

Menjawab pula soalan Azman Nasrudin (PKR-Lunas), kerajaan negeri menyatakan Lembaga Biasiswa Negeri Kedah (LBNK) memperuntuk sebanyak RM2 juta pinjaman pelajaran berbanding anggaran belanjawan 2014 yang dibentangkan tahun lalu sebanyak RM3.65 juta untuk membiayai pengajian peringkat sijil hingga ijazah kedoktoran (PhD).

Ia disebabkan peruntukan sebenar yang diterima kerajaan pada 2014 adalah sebanyak RM500,000 dan LBNK perlu merombak kembali belanjawan asal yang mengikut peruntukan sebenar yang diterima dan peringkat pengajian yang ditawarkan pada tahun berkenaan adalah dari sijil hingga Ijazah Sarjana Muda sahaja, katanya.


Insaniah, Kedah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain