suria

Bentuk Kerajaan 'Konsensus Nasional' Di Selangor - PAS

PETALING JAYA: Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim disaran supaya membentuk sebuah kerajaan berkonsepkan 'Konsensus Nasional' dengan membabitkan wakil Barisan Nasional (BN) dalam pentadbirannya.


Saranan itu dikemukakan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marzuki yang sebelum ini turut mencetuskan kontroversi berhubung 'senario analisis' jika PAS keluar daripada Pakatan Rakyat (PR).

Menurut Mohd Zuhdi yang juga Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim perlu dikekalkan sebagai menteri besar Selangor walaupun kini bertindak sebagai wakil rakyat Bebas selepas dipecat daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Langkah mengekalkan menteri besar dan barisan exco sekarang adalah salah satu elemen penting kerana mereka telah merancang program jangka panjang dan pendek sehingga Pilihan Raya Umum Ke-14 akan datang untuk kepentingan rakyat Selangor.

"Sekiranya penukaran berlaku, maka ia akan membantut perancangan tersebut, sekaligus menjejaskan usaha yang dirancang kerajaan untuk rakyat," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Selain itu, katanya, bagi menjayakan semangat 'Konsensus Nasional', BN sebagai pembangkang di Selangor sewajarnya diberi peranan sebagai ejen semak yang diiktiraf.

"Sebagai contoh seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) BN dilantik untuk mengetuai Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat).

"Konsensus ini diperkukuhkan dengan pembentukan Majlis Pemuafakatan Selangor yang melibatkan parti dari PR, BN dan Adun Bebas," katanya.

Idea 'Konsensus Nasional' pernah dibentangkan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini dengan menyeru semua pihak termasuk BN supaya menolak perbezaan politik bagi menangani isu yang disifatkannya 'teramat penting'.

Cadangan Anwar itu turut disambut baik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.


Artikel Berikut

Artikel Lain