suria

Rasuah: 72 Didakwa Hingga Julai - SPRM

PUTRAJAYA: Seramai 72 orang telah didakwa di mahkamah atas kesalahan menerima rasuah dari tahun lepas sehingga Julai lalu, kata Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Mustafar Ali.


Beliau berkata, mereka didakwa di bawah Akta SPRM 2009, yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda RM10,000, jika sabit kesalahan.

"Mereka yang didakwa di mahkamah ini terdiri daripada pelbagai agensi kerajaan, ia adalah hasil daripada aduan diterima SPRM dari peniaga, usahawan dan penjaja," katanya dalam sidang media di sini, Jumaat.

Dalam pada itu, Mustafar berkata, SPRM turut melakukan siasatan terhadap 442 peniaga, usahawan dan penjaja bagi tempoh tahun 2009 sehingga Julai lepas kerana kesalahan memberi rasuah.

"Sehubungan itu, kerjasama orang ramai dari usahawan, peniaga dan penjaja dalam memberi maklumat lengkap kepada SPRM adalah penting demi memastikan kegiatan rasuah ini dapat dikurangkan di seluruh negara," katanya.

Ditanya mengenai dakwaan unsur monopoli dalam pengagihan tapak bazar Ramadan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT), beliau berkata, SPRM menerusi bahagian Pemeriksaan dan Perundingan SPRM mendapati setakat ini semua pengagihan dilakukan PBT di seluruh negara adalah telus, adil dan tiada unsur penyelewengan.

Sehubungan itu, SPRM akan terus mengadakan perbincangan dan konsultasi dengan PBT dari semasa ke semasa dalam memastikan prosedur yang ditetapkan PBT tidak memberi sebarang ruang untuk gejala rasuah berlaku, katanya.

Sementara itu, SPRM akan mengadakan sesi dialog bersama usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan penjaja yang dinamakan 'Kempen Amalan Kredibiliti, Masyarakat Berintegriti' pada 11 Ogos ini di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (Maca).

"Antara perkara yang akan dibincangkan adalah berkaitan perlindungan untuk pemberi maklumat kegiatan rasuah, perlindungan kepada saksi kes rasuah sekiranya diminta memberi keterangan di mahkamah dan pelbagai perkara lain," katanya.

Selepas sesi dialog berkenaan, wakil dari PKS dan penjaja akan menandatangani Ikrar Integriti Korporat (CIP), CIP itu membolehkan SPRM memberi khidmat nasihat dan latihan kepada mereka dalam usaha mencegah amalan rasuah di organisasi mereka.

SPRM, Datuk Mustafar Ali

Artikel Lain