suria

Merdeka: Acara Hiburan Diselaras Ikut Kesesuaian - Ahmad Shabery

PUTRAJAYA: Acara hiburan sempena Hari Kemerdekaan ke-57 akan diselaras mengikut kesesuaian dan berdasarkan panduan berikutan tragedi pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata, kementerian akan mengeluarkan panduan seperti bentuk persembahan dan lagu yang sesuai didendangkan.

"Misalnya Konsert Chow Kit Road 2.0, lagu-lagu yang akan dimainkan adalah berbentuk ketuhanan dan menggambarkan kecintaan kepada negara," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan Bahan Promosi Hari Kemerdekaan ke-57 di sini, Jumaat.

Kementerian juga akan mengeluarkan senarai lagu yang sesuai untuk dimainkan stesen radio dan televisyen kerajaan serta swasta.

Konsert Harmoni Uniti, yang mengabungkan artis Malaysia dan Indonesia, dibatalkan, manakala beberapa acara sempena sambutan itu ditunda ke masa yang sesuai, katanya.

Ahmad Shabery berkata, kementerian akan mengemukakan cadangan berkaitan program sambutan Kemerdekaan kepada Kabinet terlebih dahulu kerana bukan semua acara yang dirancang boleh dibatalkan.

Dalam perkembangan lain, beliau mengucapkan terima kasih dia atas sumbangan dan penajaan pihak swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam usaha menyemarakkan semangat Kemerdekaan.

"Ini kerana tanggungjawab untuk menyuntik dan membangkitkan semangat Kemerdekaan bukan hanya perlu dipikul oleh pihak kerajaan tetapi semua pihak termasuk NGO dan swasta," katanya.

Selain menyumbang dan mengedarkan Jalur Gemilang, pihak swasta dan NGO juga digalakkan membuat kemeja T yang boleh dipakai oleh pelbagai lapisan masyarakat bagi menyemarakkan lagi semangat Kemerdekaan.

Penerbangan MH17, yang membawa 298 penumpang dan anak kapal termasuk 43 warga Malaysia, dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila ia terhempas di Donetsk, timur Ukraine, dipercayai akibat ditembak jatuh, pada 17 Julai lepas.

merdeka, MH17, Konsert Chow Kit Road

Artikel Sebelum

Artikel Lain