suria

Boikot: Pekerja McDonald Terpaksa Hadapi Gangguan, Ancaman

Restoran makanan segera McDonald's di Hiliran tidak beroperasi sejak jam 3 petang susulan gerakan memboikot rangkaian restoran makanan segera itu di Kuala Terengganu, Jumaat. Foto BERNAMA

PETALING JAYA: Kempen memboikot McDonald yang diadakan pada Jumaat sebagai bantahan terhadap kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin didakwa menyebabkan pekerja restoran makanan segera itu terpaksa berhadapan dengan gangguan dan ancaman ekoran tindakan itu.

McDonald’s Malaysia dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata, syarikat itu memahami dan menghormati tindakan memboikot itu sebagai keputusan individu meskipun kecewa apabila restoran makanan segera itu secara tidak adil menjadi sasaran.

Syarikat itu bagaimanapun berkata, ia memberi kesan apabila para pekerjanya yang kesemuanya adalah rakyat Malaysia terpaksa berhadapan dengan gangguan, ancaman dan pencabulan secara lisan.

"Sebahagian restoran kami juga yang terdedah dengan tindakan vandalisme tidak mempunyai pilihan tetapi terpaksa menutup operasi hari ini.

“Realitinya ialah para pekerja dan francaisi kami tidak melakukan apa-apa kesalahan, dan sesungguhnya tidak adil apabila mereka dijadikan sasaran sebegitu rupa,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Melalui satu pesanan dan gambar yang menjadi viral di laman sosial, orang ramai diajak memboikot McDonald's pada Jumaat di di seluruh negara.

McDonald's Malaysia menegaskan sekali lagi bahawa syarikat itu tidak menyokong atau membiarkan konflik yang berlaku di Timur Tengah.

“Kami ingin menegaskan pendirian kami bahawa McDonald’s Malaysia tidak menyalurkan jualan, keuntungan atau yuran francaisi daripada restorann-restoran kami untuk menyokong mana-mana yang menyebabkan sebab atau konflik politik di mana-mana di dunia.

“Kami secara konsisten dan telus dalam memperjelaskan kedudukan kami, tetapi malangnya informasi yang kami kongsikan telah disalah tafsir oleh pihak tertentu.

Tambahnya, seperti semua rakyat Malaysia, syarikat itu amat bersimpati terhadap nasib mangsa-mangsa yang tidak berdosa di Gaza.

Sehubungan itu katanya, rakyat Malaysia digesa untuk terus bertenang dan tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh memudaratkan mana-mana pihak.

“Marilah kita semua terus berdoa supaya konflik berakhir di Gaza, dengan keamanan yang berterusan,” kata syarikat itu. 

McDonald's Malaysia, boikot

Artikel Lain