suria

Fitnah Kerajaan P.Pinang: Guan Eng Mahu Bawa Nasruddin Ke Mahkamah

Lim Guan Eng.

GEORGE TOWN: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dijangka mengheret Ahli Parlimen PAS Temerloh, Nasruddin Hassan Tantawi ke mahkamah kerana gagal memohon maaf berhubung kenyataannya yang dikatakan berunsur fitnah.

Lim yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, beliau telah memberi masa mencukupi kepada Nasruddin untuk memohon maaf berhubung kenyataannya mengenai kedudukan kewangan kerajaaan negeri dan  projek terowong dasar laut.

"Setakat ini saya belum menerima sebarang respons daripada Nasruddin dan saya akan menunggu dan melihat. Saya akan membuat kenyataan rasmi sekiranya beliau terus membisu," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Lim pada Khamis memberi pilihan kepada Nasruddin untuk memohon maaf dan menarik balik dakwaan beliau yang projek dasar laut bernilai RM3.6 bilion itu diberi menerusi tender rundingan dan bukan secara terbuka.

Mengenai pesta sukan bogel di Teluk Kampi, Taman Negara Teluk Bahang dua bulan lalu yang klip videonya tersebar luas, beliau berkata adalah tidak betul Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Umno Pulau Pinnag, Datuk Zainal Abidin Osman menyalahkan kerajaan negeri.

Beliau berkata, kerajaan negeri tidak mengetahui kejadian itu dan menyerahkannya kepada pihak polis mengendalikannya.

"Walaupun ia berlaku di Pulau Pinnag, kita tidak meluluskan pesta seumpama itu dan ia berlaku di Taman Negara milik kerajaan persekutuan," katanya.

Dilaporkan Zainal Abidin menyalahkan kerajaan negeri kerana gagal menghentikan acara tersebut.

Artikel Sebelum

Artikel Lain