suria

Peniaga Pasar Malam Didakwa Ceroboh Istana Sultan Pahang

KUANTAN: Seorang peniaga pasar malam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan menceroboh Istana Baru Mahkota, di sini pada Julai lalu.

Emsabil Ab. Jaafar, 34, didakwa memasuki Istana Baru Mahkota milik Sultan Pahang tanpa kebenaran pada pukul 9.20 malam, 26 Julai lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang berasal dari Kampung Kempadang, dekat sini juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan gagal menunjukkan kad pengenalan apabila diminta oleh polis di tempat dan pada waktu yang sama.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Peraturan 25(1)(N) Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda RM20,000.

Majistret Noor Zaihan Mohamad Ali membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 19 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fatinah Abu Bakar manakala Emsabil tidak diwakili peguam.


Artikel Lain