suria

Lelaki Warga Pakistan Ditahan, Rampas Syabu Bernilai RM500,000

Zainuddin (tengah) menunjukkan dadah jenis syabu seberat 4.4kg bernilai RM500,000 yang disorokkan di dalam kotak minuman.

KUALA LUMPUR:Polis menahan seorang lelaki warga Pakistan serta merampas dadah Syabu seberat 4.4 kilogram bernilai RM500,000 di Jalan Putra, Rabu malam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Senior Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad berkata lelaki berusia 57 tahun itu yang mempunyai taraf permastautin tetap di sini ditahan sepasukan polis peronda pada 10.30 malam, ketika berada dalam sebuah kereta Proton Waja dalam keadaan mencurigakan.

"Ketika polis menghampiri kereta tersebut, pemandu kereta itu sempat melarikan diri manakala lelaki itu dapat ditahan," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada Khamis.

Katanya, hasil pemeriksaan dalam kereta itu, polis menemui sebanyak 12 kotak susu segar.

"Ketika membuka kesemua kotak susu itu polis mendapati lapan daripadanya mengandungi bungkusan dadah manakala empat lagi dipenuhi susu...kita percaya mereka cuba mengaburi pihak berkuasa," katanya.

Polis mempercayai dadah tersebut dijual untuk pasaran tempatan di sekitar ibu kota.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

dadah, syabu, pakistan

Artikel Berikut

Artikel Lain