suria

Keputusan Catuan Air Di Selangor Minggu Depan

Keputusan catuan air di Selangor akan diketahui selewat-lewatnya minggu depan.
SHAH ALAM: Keputusan bagi pelaksanaan catuan airberjadual di Selangor akan diketahui selewat-lewatnya awal minggu depan.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Belia dan Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri Dr Ahmad Yunus Hairi berkata keputusan hanya akan dibuat selepas kerajaan negeri mengadakan perbincangan lanjut dengan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan beberapa pihak kepentingan lain.

Beliau berkata status semasa Empangan Sungai Selangor buat masa ini adalah pada kadar 31.9 peratus iaitu paras kritikal manakala satu daripada sembilan kolam yang digunakan untuk mengepam air ke sungai juga kering.

"Setakat ini, pengeluaran air daripada kolam adalah dalam 600 hingga 650 juta liter sehari (JLH), tetapi semalam (Rabu) kita dapat hujan yang agak banyak dan dapat mengurangkan pengeluaran air kolam dalam 500 JLH.

"Jadi keputusan kita selepas taklimat tadi, kita akan lihat semula dan minggu depan akan bincangkan lagi sama ada keperluan catuan air atau macam mana," katanya kepada pemberita pada Khamis.

Dalam pada itu, Dr Ahmad Yunus memberi jaminan pihaknya akan mengeluarkan makluman berkenaan catuan bekalan air lebih awal bagi mengelak sebarang kekeliruan maklumat seperti sebelum ini.

Katanya Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) juga telah diarah membuat pemetaan kawasan yang terjejas teruk semasa catuan bekalan air pada Mac lepas untuk pelan meletakkan lebih tangki air dan sebagainya jika catuan airdilaksanakan.

"Berdasarkan pengalaman lepas, jika berlaku lagi catuan selepas ini, kita akan buat perancangan yang lebih teliti dan baik supaya kita tidak buat dalam keadaan tergesa-gesa," katanya.

Sementara itu, arahan telah dikeluarkan kepada semua pusat cuci kenderaan berlesen di Selangor supaya hanya menjalankan operasi selama enam jam sehari bermula pukul 12 tengah hari hingga 6 petang berkuat kuasa serta merta.

Arahan itu diputuskan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) semalam yang turut meminta semua pihak berkuasa tempatan di negeri itu menutup pusat mencuci kenderaan tidak berlesen sebagai langkah penjimatan penggunaan air menurut kenyataan Sekretariat Akhbar Pejabat Menteri Besar Selangor.

Menurut kenyataan itu, usaha mengehadkan operasi pusat cuci kenderaan adalah sebagai langkah untuk memastikan bekalan air mencukupi dan mampu bertahan sehingga fenomena El Nino berakhir.

"Catuan air adalah langkah terakhir sekiranya kesemua usaha-usaha yang dijalankan tidak berjaya," menurut kenyataan itu.
catuan ari, selangor, LUAS, Syabas

Artikel Lain