suria

Masyarakat Siam Kutuk Tindakan Hina Yang Di-Pertuan Agong

Boon Som Inong
ALOR SETAR: Masyarakat Siam di negeri ini mengutuk tindakan pemilik laman sosial Facebook, Chandra Lawan Tetap Lawan yang menghina Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan menggesa supaya polis segera menyiasat kes itu.


Anggota Dewan Negara Mewakili Masyarakat Siam, Senator Datuk Boon Som Inong berkata, tindakan itu adalah sangat biadap dan menggambarkan bahawa pemilik laman sosial itu jahil serta cetek pemikirannya.

"Sekarang sudah tidak ada akta ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri), orang ambil kesempatan buat macam-macam. Saya harap akan ada akta seumpama ini bagi mengawal perkara ini daripada berlaku kerana ia boleh menimbulkan huru hara," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar di sini, Khamis.

Beliau yang mewakili Dewan Perniagaan Bumiputera Siam Malaysia dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) masyarakat Siam berkata, perbuatan itu juga bertentangan dengan prinsip Rukun Negara dan tidak patut dilakukan kepada sesiapa pun terutama institusi diraja.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, ACP Mohd Nashir Ya berkata polis telah menerima lebih 15 laporan terhadap pemilik akaun Facebook berkenaan sehingga tengah hari ini.

Nashir berkata, kes berkenaan kini sedang disiasat pihaknya di bawah Seksyen 4(1)(C) Akta Hasutan 1948.

Dalam perkembangan sama, Parti Gerakan Kedah turut menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan secara terperinci berkaitan isu penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Timbalan Presidennya, Datuk Dr Cheah Soon Hai berkata, isu berkenaan adalah sangat serius dan perlu diambil tindakan segera kerana ia boleh mengundang kepada masalah perkauman.

"Ini semua telah menimbulkan perselisihan faham di antara kaum, mengancam keamanan dan keharmonian negara," katanya.

Katanya kes-kes berkaitan konflik perkauman dan agama kebelakangan ini mungkin bertujuan menghasut sentimen perkauman di antara kaum bagi menimbulkan kekacauan.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan agar semua rakyat tidak mudah terpedaya dengan kenyataan-kenyataan dan niat jahat individu tertentu di laman sosial dan bersama-sama menentang isu perkauman.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain