suria

Wan Azizah Minta Pakatan Rakyat Bersatu

Wan Azizah (kiri) dan Abdul Khalid.
PETALING JAYA: Ahli Pakatan Rakyat harus merapatkan barisan dan bersatu padu dalam menghadapi krisis Menteri Besar Selangor, kata Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. 

Dalam satu kenyataan pada Khamis, Dr Wan Azizah, yang disebut-sebut untuk menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar berkata krisis semasa itu tidak dibincangkan secara positif sebaliknya 'muncul dengan emosi'.

Beliau menambah bahawa kewujudan Pakatan sejak 2008 adalah manifestasi dan penzahiran hasrat rakyat.

"Jika ini tidak benar, masakan kita mampu meraih 52 peratus undi popular sewaktu Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13)," katanya Adun Kajang ini.

Beliau berkata rakyat berharap suasana politk yang lebih positif dan progresif yang mempunyai keupayaan untuk memenuhi kehendak mereka. 

"Saya menggesa semua ahli keluarga PR daripada semua parti - bersatulah kita, rapatkan saf kita, dan marilah bersama mencari jalan penyelesaian terbaik untuk sebuah negeri yang kita tadbir dan masa depan Malaysia yang lebih baik," katanya.

Khalid berada di bawah tekanan apabila PKR mahu beliau meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar.

Walaupun mempunyai bilangan kerusi yang paling kurang di Dewan Undangan Negeri, PKR telah diberikan hak untuk menamakan menteri besar.

Rakan Pakatan, PAS, bagaimanapun, menentang PKR dengan alasan Khalid harus kekal sebagai menteri besar.

PAS dijangka mengumumkan keputusannya mengenai krisis ini pada Khamis, manakala Khalid berisiko dipecat dari parti, berikutan pengeluaran surat tunjuk sebab terhadapnya.

Artikel Lain