suria

Polis Rampas Dadah Disorok Dalam Balang Kuih

- Gambar hiasan
TEMERLOH: Polis merampas syabu bernilai RM25,000 yang disorok dalam balang kuih raya di ruang tamu sebuah rumah di Jalan Bahagia di sini setelah menyerbu rumah tersebut, Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Temerloh ACP Mohd Anuar Othman berkata, dalam serbuan pada 8.10 malam itu, polis turut menahan dua lelaki masing-masing berumur 20 dan 30 tahun.

"Kedua-dua lelaki itu cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh, namun gagal," katanya ketika dihubungi di sini, Rabu.

Katanya, semasa serbuan polis terpaksa memecahkan pintu bahagian belakang rumah berkenaan selepas dua lelaki itu enggan membuka pintu dan memberi kerjasama.

Polis turut merampas satu alat penimbang digital, satu botol kaca yang diubah suai untuk tujuan menghisap syabu, tiga unit telefon bimbit jenama Samsung dan Nokia serta sebuah Galaxy Tab Samsung.

Mohd Anuar berkata, siasatan awal mendapati syabu itu dibawa masuk dari negara jiran untuk pasaran tempatan.

Katanya kedua-dua suspek yang dipercayai menjalankan kegiatan pengedaran dadah sejak setahun lalu, kini ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Selain itu, polis juga menjalankan siasatan mengikut Seksyen 15 (1)(a) akta sama kerana memasukkan dadah ke dalam badan.

syabu, dadah, balang kuih

Artikel Lain