suria

Kita Tidak Cukup Bekalan Air Mentah

Empangan Selangor di Kuala Kubu Baru.
PETALING JAYA: Catuan air kedua untuk Selangor menjadi satu keperluan kerana kerajaan negeri tidak boleh bergantung kepada hujan monsun perantaraan biasa yang dijangka pada bulan September, kata Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga (AWER).

Presidennya,  S.Piarapakaran menerangkan mesyuarat kerajaan negeri pada Rabu untuk memutuskan sama ada catuan air perlu dilaksanakan buat kali kedua tahun ini sebagai 'masih belum terlewat'. 

"Ia merupakan satu keadaan yang cukup mudah. 

"Kita jelas tidak mempunyai air mentah yang mencukupi untuk dibekalkan kepada empat loji rawatan utama yang menghasilkan air kepada kira-kira 60 peratus daripada pengguna di negeri ini.

"Adalah satu langkah kurang bijak untuk bergantung kepada hujan dalam tempoh perantaraan monsun bulan depan kerana kita tidak dapat memastikan sama ada corak hujan adalah stabil atau jika jumlah hujan akan menjadi tinggi," katanya ketika dihubungi.

Presiden Persatuan Air Malaysia Syed Mohamad Alhabshi berkata industri air negeri telah dijangka berdepan dengan masalah seperti ini selepas kelewatan loji rawatan air Langat 2.

"Mengapa kita membiarkan diri kita berada di dalam keadaan ini?  Kami telah melihat perkara ini akan berlaku empat tahun lalu," katanya ketika ditemui The Star. 

Beliau berkata mereka yang menasihatkan kerajaan negeri sebelum ini bahawa terdapat air yang cukup akan 'terlepas begitu sahaja'.

Syed Mohamad juga memberi amaran bahawa catuan mungkin akan diteruskan sekali lagi tahun depan dan seterusnya, sehingga rancangan Langat 2 selesai.

"Ia akan menjadi acara tahunan," katanya. 

Ramai pengguna di negeri ini telah tertakluk kepada catuan air di antara bulan Februari dan Mac tahun ini apabila empangan Sungai Selangor yang membekalkan air kepada lebih 60 peratus daripada isi rumah, jatuh ke tahap yang hampir kritikal.

Apabila catuan dibuat di antara bulan Februari dan Mac, tahap di empangan Sungai Selangor adalah 37 peratus. Paras air kini adalah 32 peratus. 

Walau bagaimanapun, Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah berkali-kali memberi jaminan kepada pengguna bahawa Selangor tidak akan melaksanakan catuan air lagi.

Beliau menambah terdapat air mentah yang mencukupi untuk bertahan dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
AWER, catuan air

Artikel Lain