suria

MB Selangor: Kecoh, Tiba-Tiba Azmin Dicalonkan

Zuraida Kamaruddin.
PETALING JAYA: Senario dalam bilik sidang media Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) kali ini berbeza, situasi tenang bertukar tegang seketika apabila wujud dua kenyataan bercanggah berhubung isu calon Menteri Besar Selangor.

Terdahulu, Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin bersama pimpinan peringkat pusat, negeri dan cabang Selangor menyatakan sokongan terhadap Presiden parti, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon tunggal jawatan itu.

Namun, sebaik sahaja sidang media tamat, keadaan bertukar kecoh apabila satu kenyataan media yang kononnya dari Majlis Pimpinan Negeri Selangor mahu Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali turut dinamakan sebagai calon bagi mengisi kerusi panas itu.

Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang menafikan kenyataan bercanggah tersebut, namun tidak menolak keberangkalian wujud unsur sabotaj.

"Saya tidak tahu siapa yang edarkan kenyataan media itu. Setahu saya, semua pimpinan sebulat suara setuju dengan keputusan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) untuk menamakan Wan Azizah.

"Kita akan siasat siapa perkara ini. Saya juga tidak menolak mungkin wujud unsur sabotaj untuk menimbulkan kekeliruan," katanya ketika ditemui pemberita selepas sidang media di sini, Rabu.

Kenyataan bercanggah itu turut menyatakan Azmin layak dipertimbangkan sebagai calon kerana beliau mempunyai pengalaman luas dalam pentadbiran di peringkat Persekutuan dan juga negeri.

"Ketokohan dan pengalaman beliau selaku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Selangor, Pengarah Pilihanraya Pusat dan Timbalan Presiden PKR melayakkan nama beliau diangkat bersama Wan Azizah untuk dipertimbangkan sebagai calon menteri besar," demikian menurut kenyataan tersebut.

Selain itu, ia  turut menyebut Azmin diyakini mampu mencorakkan hala tuju Pakatan Rakyat dan menjadikan Selangor sebagai sebuah negeri contoh dibawah pentadbiran Pakatan Rakyat.

"Kami memerlukan seorang pemimpin yang lebih tangkas, berpengalaman luas dalam pentadbiran  dan pengurusan kerajaan, berhemah dalam pengurusan ekonomi serta mempunyai daya tahan untuk berdepan asakan parti lawan," menurut kenyataan itu.


Artikel Sebelum

PKR Berat Sebelah - PAS

Artikel Lain