suria

Kiki, Prejudis, Perkauman Dan NUCC

INSIDEN Kiki, pemilik kenderaan CDM25, tidak berakhir dengan hukuman RM5,000 dan kerja amal 240 jam. Ia berakhir bukan kerana kedua-dua pihak tidak mahu berdamai sebaliknya berterusan kerana reaksi dan prejudis sebilangan besar masyarakat Malaysia.

Apabila kejadian tersebut menjadi 'viral', isunya sangat jelas bahawa ianya tidak lain tidak bukan sekadar isu seorang yang berkelakuan biadap terhadap seorang warga emas. Tidak ada eeek, tidak ada uuuk. Tidak lebih dan tidak kurang. Itu sahaja.

Tetapi sebagaimana sesetengah isu politik dan ekonomi yang sering dilihat dari kaca mata prejudis perkauman yang menebal, isu kiki ini juga menerima nasib yang sama.

Jika dibaca komen-komen di laman media sosial, terdapat reaksi seperti 'ala, sebab yang buat tu orang Melayu. Itu yang jadi isu. Cuba kalau orang cina atau india yang buat. Mesti senyap.'

Adakah ini bermakna ianya tidak mengapa jika seorang Melayu menjadi pembuli warga emas? Adakah orang melayu hanya perlu bersopan santun terhadap warga emas Melayu? Kenyataan begini sangat membingungkan, malah semacam memberi gambaran yang salah terhadap orang Melayu itu  sendiri.

Pada masa yang sama ada juga pandangan sempit seperti 'see, I told you Malays are not only corrupt but they tend to become intolerable people even in a fasting month'. Tidakkah mereka ini sedar tanpa toleransi penjawat awam yang majoritinya bangsa Melayu, mereka ini tidak mungkin dapat menjalankan perniagaan dengan lamcar dan seterusnya berjaya? Kenyataan ini juga sama prejudis dengan kenyataan pertama tadi.

Tidak terhenti setakat komen komen prejudis sebegini, sudah ada page fb yang dibuat untuk menghebahkan pemandu Melayu yang kurang ajar. Pada masa yang sama, ada NGO yang melancarkan tabung untuk mengutip dana membela Kiki!

Ini jelas menunjukkan isu ini sudah dilihat, ditangani dan dijadikan sebagai isu perkauman.

Apa maknanya daripada semua ini? Jawapan- inilah manifestasi sebenar untuk memberi gambaran betapa prejudisnya masyarakat Malaysia terhadap satu sama lain.

Mengapa begitu prejudis? Jawapan: kerana kurangnya integrasi di antara kaum daripada peringkat sekolah hinggalah ke peringkat dah hantar anak ke sekolah. Tanpa integrasi, kita tidak mengenali dan memahami.

Tanpa mengenali, prejudis menebal. Secara jujur berapa jam dalam sehari kita atau anak-anak kita bergaul sesame bangsa?

Apakah punca yang membawa kepada keadaan ini? Jawapan- kerana kerajaan tidak serius untuk mengintegrasikan masyarakat Malaysia. Bagaimana dengan program khidmat negara? Lucu.

Tidak masuk akal untuk PLKN yang sekadar selama 3 bulan mampu mengikis prejudis yang wujud hasil 11 tahun di alam persekolahan? Ini kosmetik.

Mungkin ada yang berkata, mengapa nak salahkan sistem pendidikan pelbagai aliran di Malaysia? Bukankah sistem yang sama telah berjaya mewujudkan keharmonian di Malaysia?

Benar. Tetapi kita tidak seharusnya cepat berpuas hati. Realitinya, prejudis di antara kaum masih menebal. Sebelum ini pandangan prejudis ini hanya disimpan di dalam hati.

Tetapi kini media sosial memberikan kebebasan mutlak untuk masyarakat berkata apa sahaja. Reaksi isu kiki hanyalah salah satu bukti yang pahit untuk ditelan.

Kerajaan dilihat sedar mengenai situasi ini. Malangnya, sebagaimana solusi kosmetik PLKN, sekali lagi kerajaan mengambil pendekatan yang sama dengan penubuhan Majlis Konsultasi Perpaduan Nasional atau NUCC.

Mengapa NUCC kosmetik?

Kritikan pertama, kerajaan tidak boleh mewujudkan perpaduan, mengikis prejudis kaum dan mengatasi diskriminasi melalui penubuhan sebuah badan atau agensi.

Adakah Malaysia menjadi lebih berintegriti sejak penubuhan Institut Integriti Malaysia? Adakah pengenalan Pelan Integriti Nasional (PIN) 2005 berjaya meningkatkan ranking negara di dalam indeks rasuah? Hakikatnya hanya Bolivia dan Malaysia sahaja di dunia ini yang mempunyai pelan integriti untuk mewujudkan integriti. Di manakah kedudukan Bolivia sekarang?

Ini tidak disentuh dengan penubuhan Agensi Inovasi untuk pembangunan inovasi di Malaysia yang juga kosmetik kerana inovasi di Lembah Silikon, USA tidak datang dalam bentuk penubuhan agensi kerajaan.

Begitulah kiranya dengan penubuhan NUCC.

Kritikan kedua- negara yang mempunyai Akta Hubungan Kaum sebagaimana yang dicadangkan NUCC adalah negara yang masalah perkaumannya menjadi lebih serius selepas pengenalan akta tersebut.

Sedikit fakta, United Kingdom yang telah memperkenalkan akta tersebut pada tahun 1965 telah mengakui akta ini secara teorinya memang cantik tetapi apabila di peringkat perlaksanaan, ia sebenarnya mengekalkan malah mendiskriminasikan lagi masyarakat.

Memusnahkan diskriminasi berasas kaum menjadikan kita semua sama – ini memang cantik. Tetapi ia juga akan mengekekalkan ketidaksamaan dan ketidakadilan yang sedia ada - ini tidak patut.

Hakikatnya dengan pengenalan undang-undang ini hanya akan menafikan legitimasi kerajaan untuk menjalankan sebarang dasar bagi mengurangkan jurang perbezaan kaum khususnya dalam bidang ekonomi.

Bukankah tanpa ‘social engineering’ bagi mengstruktur masyarakat dengan sedikit ‘diskriminasi’ akan menjadikan hubungan kaum lebih teruk? Fikirkan.


Kritikan ketiga dan terakhir- kerajaan telah membuat satu kesilapan dengan melantik ahli NUCC di kalangan mereka yang pro-pembangkang. Mungkin kerajaan ingin mengamalkan politik baru yakni politik inklusif dengan melantik ahli pembangkang bagi membuat dasar kerajaan.

Tetapi politik baru bukan soal menjadi popular dengan menjadi inklusif. Politik baru yang sebenar adalah politik yang memastikan keberjayaan dasar kerajaan. 

Kerajaan perlu faham satu perkara iaitu mereka yang anti-kerajaan tidak mempunyai motivasi untuk memastikan dasar kerajaan berjaya. Mengapa mereka mahu menolong entiti yang mereka ingin ubah?

Ini samalah seperti memberi tempat kepada syarikat pesaing di dalam lembaga pengarah dengan harapan mereka akan membantu meningkatkan keuntungan syarikat tersebut. 

Jika inilah amalan kerajaan, adalah lebih baik kerajaan memansuhkan kementerian dan hanya menubuhkan agensi atau jawatankuasa untuk ahli-ahli pembangkang bagi membuat dasar kerajaan.

Tuntasnya, isu kiki menunjukkan kepada kita bahawa penyakit prejudis masih wujud. Tetapi NUCC bukan ubatnya.

Kerajaan masih belum terlambat untuk berbuat sesuatu dalam merawat penyakit ini.

NUCC, PLKN

Artikel Lain